SUKAN

Cristiano Ronaldo bakal ke Hong Kong untuk pembukaan muziumnya

Astro Arena 03/07/2025 | 02:30 MYT
CR7 Life Museum akan dibuka di pusat beli-belah K11 Musea di Tsim Sha Tsui, Hong Kong, bermula 7 Julai ini.
BINTANG Portugal, Cristiano Ronaldo, bersedia untuk melawat Hong Kong untuk pembukaan CR7 Life Museum miliknya.

Menurut wakil Ronaldo, superstar berusia 40 tahun itu memilih Hong Kong sebagai lokasi untuk muzium terbaharunya kerana peminatnya yang ramai di China.

Muzium itu akan dibuka di pusat beli-belah K11 Musea di Tsim Sha Tsui bermula 7 Julai, dengan Ronaldo sendiri dijangka hadir, walaupun tarikh sebenar lawatannya belum dinyatakan.

Luis Parafita, salah seorang wakil Ronaldo, menjelaskan bahawa Hong Kong adalah pilihan untuk lokasi muzium itu, lapor South China Morning Post.

"Ini adalah pintu ke Asia. Kami mempunyai pangkalan peminat yang besar di sini," katanya.

"Hubungan yang sudah dimiliki Cristiano dengan China dan Asia cukup besar."

Parafita juga menyebut, terdapat permintaan 'dari seluruh dunia' untuk menjadi tuan rumah muzium itu, terutamanya selepas percubaan selama tiga bulan bagi pameran yang lebih kecil di Riyadh, Arab Saudi, dua tahun lalu.

Walaupun masa Ronaldo di atas padang tetap menjadi keutamaannya, Parafita mengesahkan, legenda bola sepak itu akan muncul di Hong Kong namun tidak mendedahkan tarikh khusus untuk lawatannya.

Life Museum CR7 yang terletak di K11 Musea, berkeluasan 1,114.8 meter persegi dan dijangka menarik lebih dua juta pengunjung pada tahun hadapan.

Parafita menyatakan bahawa kapasiti maksimum muzium ialah 500 orang sejam, jadi pengalaman pelawat akan menjadi selesa.

Ini merupakan muzium CR7 yang, selepas yang pertama dibuka pada 2013 di tempat kelahiran Ronaldo, Funchal, Portugal.

Tidak seperti yang terdahulu, muzium Hong Kong ditetapkan untuk beroperasi hanya selama setahun, menurut laporan Hong Kong Free Press. - Stadium Astro





#Cristiano Ronaldo #muzium Ronaldo #CR7 Life Museum #superstar Ronaldo