SUKAN
Cristiano Ronaldo bakal tandatangani kontrak baharu 2 tahun bersama Al Nassr

Ronaldo telah menjaringkan 99 gol dalam 111 penampilan bersama Al Nassr, termasuk 35 gol musim lalu untuk muncul sebagai penjaring terbanyak Liga Pro Saudi dan memenangi anugerah Kasut Emas. - Gambar Reuters
LONDON: Cristiano Ronaldo hampir bersetuju untuk menandatangani kontrak baharu selama dua tahun dengan kelab Liga Pro Saudi, Al Nassr, menurut agensi berita PA.
Kapten Portugal berusia 40 tahun itu sepatutnya menamatkan kontraknya pada penghujung Jun.
Selepas perlawanan terakhir Al Nassr dalam saingan liga bulan lalu, Ronaldo memuat naik kenyataan di media sosial berbunyi "bab ini sudah berakhir", sekali gus mencetuskan spekulasi bahawa beliau akan meninggalkan kelab berpangkalan di Riyadh itu.
Namun, pemenang Ballon d'Or lima kali itu kini dijangka kekal di Arab Saudi.Penyerang itu menyertai Al Nassr pada Disember 2022 sebagai pemain bebas selepas meninggalkan Manchester United susulan temu bual kontroversi yang menyaksikan beliau mengkritik kelab Liga Perdana Inggeris tersebut.
Ronaldo telah menjaringkan 99 gol dalam 111 penampilan bersama Al Nassr, termasuk 35 gol musim lalu untuk muncul sebagai penjaring terbanyak Liga Pro Saudi dan memenangi anugerah Kasut Emas.
Al Nassr kini tidak mempunyai pengurus selepas berpisah dengan Stefano Pioli pada Rabu.
Bekas pengendali AC Milan dan Inter itu, yang dilantik pada September, membawa Al Nassr menamatkan saingan di tempat ketiga dalam Liga Pro Saudi musim lalu, 13 mata di belakang juara, Al Ittihad.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami