SUKAN

Cristiano Ronaldo tidak beraksi bersama Al Nassr untuk perlawanan kedua berturut-turut

Bernama 07/02/2026 | 21:40 MYT
Penyokong Al Nassr mengibarkan bendera besar dengan wajah Ronaldo ketika perlawanan Liga Pro Saudi berlangsung antara Al Nassr dan Al Ittihad di Al Awwal Park, Riyadh, Arab Saudi, 6 Feb 2026. REUTERS
LONDON: Cristiano Ronaldo sekali lagi tidak disenaraikan dalam skuad Al Nassr untuk perlawanan kedua berturut-turut di tengah-tengah pertikaian yang berlarutan dengan Liga Pro Saudi, lapor PA Media/dpa.

Bintang berusia 41 tahun itu diketepikan daripada barisan pemain untuk perlawanan menentang Al Ittihad pada Jumaat malam, selepas turut terlepas kemenangan ke atas Al Riyadh pada Isnin lepas.

Peminat menyatakan solidariti mereka dengan mengangkat sepanduk kuning yang tertera nama Ronaldo dan nombor jersi ikoniknya, tujuh, pada minit ketujuh perlawanan di Al-Awwal Park. Al Nassr mencatatkan kemenangan 2-0 tanpa kelibat pemain bintang mereka itu.

Kapten Portugal itu, yang menyambut ulang tahun kelahirannya pada Khamis, dipercayai kecewa dengan tindakan kelabnya yang tidak banyak melakukan sebarang urusan perpindahan pemain pada jendela Januari.

Beliau dilaporkan tidak berpuas hati dengan Dana Pelaburan Awam (PIF) Arab Saudi kerana gagal melabur untuk pasukan itu pada jendela musim sejuk, manakala pesaing utama, Al Hilal - yang juga dimiliki 75 peratus oleh PIF - berjaya membawa masuk bekas rakan sepasukannya di Real Madrid, Karim Benzema.

Ronaldo sebelum ini telah diberi amaran oleh Liga Pro Saudi bahawa "tiada individu - tidak kira betapa pentingnya mereka - boleh menentukan keputusan melangkaui kelab mereka sendiri."

-- BERNAMA

#Cristiano Ronaldo #Cristiano Ronaldo tidak beraksi #Al Nassr #Liga Pro Saudi