CSGO: Bukan sebab saya Sphynx menang - Ramona

Mariah Ahmad
September 24, 2018 03:39 MYT
Ramona Azween menyifatkan kemenangan Sphynx dalam WESG Kelayakan Malaysia adalah kerana kemampuan pasukan itu sendiri, bukan sekadar skil individu. -Foto Astro AWANI
RAMONA Azween bukan satu nama yang asing dalam arena e-sukan CSGO.
Beliau mencipta namanya tersendiri dalam e-sukan itu menerusi lebih 10 kemenangan kejohanan tempatan dan antarabangsa yang diraihnya, termasuk Juara Piala One Asia 2012 dan Juara Crossfire Asia Tenggara 2013.
Menerusi pengalaman dan kejayaannya dalam lebih 15 tahun itu, tidak pelik apabila kehebatannya digeruni ramai sehingga ada yang menyifatkan kelayakan pasukan Sphyx memenangi Kejohanan Dunia Sukan Elektronik (WESG) Kelayakan Malaysia pada semalam hanya kerana kehadirannya dalam pasukan itu.
"Bukan kerana saya sahaja. Dalam CSGO, ada lima pemain dan setiap daripada mereka mempunyai peranan masing-masing.
"Mungkin saya mempunyai pengalaman yang lebih berbanding ahli-ahli yang lain namun memang mustahil untuk memenangi mana-mana pertandingan jika hanya bergantung kepada usaha satu pemain sahaja.
"Saya mengalami demam yang teruk hari ini (Ahad) dan saya menang kerana empat ahli yang lain memberikan usaha yang terbaik," katanya ketika ditemui Astro AWANI selepas menghadiri upacara penutup WESG Kelayakan Malaysia di Quill City Mall pada Ahad.

[WESG / CSGO] Malaysia, inilah wakil CSGO (Wanita) anda untuk ke Kejohanan Dunia Sukan Elektronik Asia Tenggara nanti, @TeamSphynx!!! Mereka membelasah #MercenariesX 16-2 dalam pusingan kedua map Mirage seketika tadi. #GGWP @501Awani #GalaxyGamerz #esukan #esports pic.twitter.com/v1m6z5oPbZ

— Mariah Ahmad (@A_marea) September 23, 2018
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Dalam kejohanan tersebut, Ramona bersama Aisya Sabrina Sabri, Iffah Nazurah Saidi, Jasmine Christina Sim Huiyan, Shanice Choo Xin Ru dan Intan Farhana Harun Noor Rashid membelasah pasukan Mercenaries X 2-0 pada final.
Menerusi kemenangan itu, Sphynx bakal menentang pasukan-pasukan terbaik CSGO dari rantau Asia Tenggara pada November nanti dalam satu kejohanan yang menawarkan hadiah wang terkumpul melebihi RM60,000.
Sebelum ini, Sphynx yang ditubuhkan pada tahun lalu turut beraksi cemerlang dalam pusingan round robin kejohanan tersebut.
#csgo #Kejohanan Dunia Sukan Elektronik #mercenaries x #ramona azween #Sphynx #WESG #world electronic sports game