SUKAN

Cuaca panas tidak halang Ferris, Derron ungguli Ironman 70.3 Langkawi

Bernama 01/11/2025 | 08:59 MYT
Josh Ferris yang kali pertama bersaing dalam kejohanan itu, berjaya mendominasi kategori lelaki dengan catatan 3 jam 46 minit 56 saat. - Instagram Josh Ferris
LANGKAWI: Cuaca panas tidak menghalang dua peserta profesional Josh Ferris dan Julie Derron mengungguli kategori lelaki dan wanita Kejohanan Ironman 70.3 Langkawi, yang berakhir di Pelangi Beach Resort and Spa, di sini hari ini.

Bagi Ferris, 24, dari Australia, walaupun kali pertama bersaing dalam kejohanan berkenaan, beliau berjaya mendominasi kategori lelaki selepas menamatkan perlumbaan dengan catatan 3 jam 46 minit 56 saat (s).

"Hari ini adalah hari yang baik tetapi mencabar. Cuaca sangat panas, jadi saya perlu minum banyak air untuk sejukkan badan. Ini antara perlumbaan paling sukar pernah saya sertai dari segi cuaca.

Cabaran paling getir ialah larian 10 kilometer (km) terakhir di lapangan terbang yang terasa sunyi, tetapi secara keseluruhan saya berpuas hati dengan perlumbaan ini. Saya pasti akan kembali tahun depan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Tempat kedua dimenangi Jens Emil Sloth Nielsen, 27, dari Denmark dengan 3:50:25s manakala wakil dari Kanada, Tyler Mislawchuk, 31, ketiga dengan 3:55:30s.

Derron, 29 dari Switzerland yang mendominasi kategori wanita berkata penyertaannya pada saat akhir itu berbaloi apabila bergelar juara dengan masa direkodkan 4:13:52s.

"Saya gembira menang di Langkawi, walaupun penyertaan pada saat akhir. Saya sudah agak lama tidak berlumba kerana sedang proses pemulihan akibat kemalangan, jadi agak gugup. Saya berpuas hati kerana berjaya menamatkan perlumbaan dengan baik.

"Semuanya berjalan lancar, walaupun acara berbasikal memerlukan pendakian dan larian di sekitar lapangan terbang panjang serta sangat panas. Secara keseluruhan laluan ini mencabar, tetapi saya masih belum buat sebarang rancangan untuk tahun depan," katanya.

Tempat kedua dimenangi peserta dari Australia, Natalie Van Coevorden, 32, dengan 4:18:11s manakala pelumba Perancis, Justine Guerard, 31, ketiga dengan 4:22:17s.

Sementara itu, Shahrom Abdullah, 46, muncul pelumba terpantas Malaysia selepas menamatkan perlumbaan dengan 4:42:31s manakala Chew Huey Ming, mengungguli kategori wanita dengan 5:31:52s.

Tumpuan media juga terarah kepada pasukan berkumpulan Fixcoaching X Smiling Buffalo Elite Pro disertai pelumba negara Hafizh Syahrin Abdullah; pelari maraton negara, Muhaizar Mohamad dan jurulatih renang Mikhail Anas Ahmad Razali.

Dalam kategori berkumpulan itu, Hafizh Syahrin melengkapkan disiplin berbasikal manakala Muhaizar larian diikuti Mikhail disiplin renang berjaya menamatkan saingan di tempat kelima dengan 4:34:30s.

Menurut Mikhail Anas yang juga ketua kumpulan, kumpulan itu ditubuhkan kira-kira tiga minggu sebelum kejohanan dan bersyukur setiap pelumba berjaya melengkapkan displin masing-masing tanpa sebarang kecederaan.

-- BERNAMA

#ironman 70 3 #Langkawi #josh ferris #julie derron #perlumbaan