DAVID de Gea mengakui kekalahan 0-7 Manchester United kepada Liverpool adalah 'detik yang buruk" sambil berjanji mereka akan mengubah keadaan dengan "tugas mereka kepada kelab ini".

Skuad bimbingan Erik ten Hag itu mengalami kekalahan terburuk dalam sejarah kelab ketika skuad tuan rumah yang dikemudi Jurgen Klopp dibiarkan bermaharajalela dalam pertemuan Liga Perdana Inggeris (EPL) di Anfield, awal pagi tadi.

Hadir hanya seminggu selepas United menamatkan kemarau piala selama enam tahun dengan kejayaan Piala Liga Inggeris (EFL), namun kekecewaan kali ini cukup berbeza bagi menggambarkan kemajuan yang mereka capai musim ini.

De Gea menyedari impak keputusan buruk sebegini apabila tampil menciap mesej terbuka kepada penyokong di Twitter dengan berjanji dia dan rakan sepasukannya akan bangkit.

"Saya tahu mesej sebegini tidak sesuai pada hari seperti ini," ciapnya.


"Ini adalah saat yang merugikan bagi kami dan keputusan ini tidak sepatutnya berlaku, khususnya berdasarkan perjalanan yang kami semua telah tempuhi.

“Kami mempunyai tugas di kelab ini, iaitu tanggungjawab untuk mewakili lencana ini tetapi kami masih ada banyak peluang untuk melihat ke hadapan.

"Kami masih mempunyai banyak baki perlawanan yang akan hadir dengan pantas dan kami perlu mengunci fokus kami kepada aspek ini."