Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan memulakan kerja-kerja menaik taraf Stadium Hoki Kuala Lumpur, termasuk menukar permukaan padang sintetik baharu dengan serta merta.

Datuk Bandar Kuala Lumpur yang mengesahkan DBKL mengambil alih pengurusan stadium itu daripada Persatuan Hoki Kuala Lumpur (PHKL) berkata, pembaikpulihan infrastruktur itu turut meliputi lampu limpah, papan skor dan perkakasan dalaman.

Tanpa mendedahkan kos pembaikpulihan itu, beliau berkata ia merupakan sebahagian daripada usaha untuk menjadikan Kuala Lumpur 'mesra sukan' kepada kira-kira dua juta penduduk ibu kota selain terus melahirkan atlet-atlet bertaraf dunia.

"Walaupun banyak dah diperbaiki (sebelum ini), kita perlu tambah baik lagi, terutamanya infrastruktur demi kebaikan generasi akan datang. Kita memerlukan generasi masa depan untuk membawakan obor kecemerlangan hoki, bukan setakat di Malaysia atau benua tapi di peringkat dunia.

"Ini satu cara untuk membantu persatuan-persatuan sukan di Kuala Lumpur, yang kita rasa boleh beri impak baik kepada negara," katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis penutupan Karnival Hoki Veteran Kuala Lumpur 2020 di sini, pada Sabtu.

DBKL pada Jun lepas mengeluarkan notis kepada PHKL, untuk mengosongkan pejabat mereka di stadium yang terletak di Jalan Pantai Baharu itu dengan serta-merta, susulan kegagalan menguruskan venue berkenaan dengan baik, selain bil utiliti tidak dibayar.

PHKL diberikan hak pengurusan stadium berkenaan dengan yuran pengurusan oleh DBKL sebanyak RM10,000 sebulan dari 1998 hingga 2013, sebelum yuran itu dinaikkan kepada RM19,000 sebulan bagi tempoh 1 Sept 2013 hingga 31 Ogos 2018.

DBKL kemudian menawarkan lanjutan seterusnya pada April 2019 untuk tempoh tiga tahun bermula 1 Mei 2019 hingga 30 April 2022 dengan kadar yuran pengurusan dikekalkan, bagaimanapun kedua-dua pihak gagal mencapai kata sepakat.

Presiden PHKL Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin meluahkan rasa syukur kepada DBKL dan Nor Hisham yang membenarkan persatuan itu menggunakan stadium secara percuma untuk tempoh setahun lagi.

"Pengurusan stadium dikendalikan DBKL, kita bantu, bekerjasama dalam perkara diperlukan supaya program hoki dan pembangunan akar umbi dibuat di stadium ini. Kita akan bekerjasama dengan sekolah dan kelab menyediakan modul seperti di Eropah bagi peringkat umur bawah 10, 12, 14 dan 16 tahun," katanya.

Sementara itu, Team Grays menjuarai kejohanan yang disertai oleh 12 pasukan meliputi 120 pemain berusia 40 ke atas selepas menewaskan TPCA 4-1 pada aksi final.

Iman Gobinathan dan K. Keevan Raj yang mewakili negara pada Sukan Olimpik Sydney 2000, merupakan antara pemain yang beraksi di kejohanan itu, selain bekas pemain era 1990-an, Robert Alcantra, Hairul Nizam Abdul Rani, Mustaffa Arifin, Abdul Razak Saidin, Mohd Faizal Daud dan Azrul Affendy Bistaman.

-- BERNAMA