SUKAN

Deaflympics 2025: Format baharu uji keampuhan skuad boling pekak negara di Tokyo

Bernama 22/10/2025 | 13:35 MYT
Teck Kheng bercakap kepada media ketika sesi latihan atlet boling pekak negara di Ampang Superbowl hari ini. - Gambar Bernama
PETALING JAYA: Format baharu acara berpasukan bagi sukan boling yang diperkenalkan pada Deaflympics Tokyo 2025 dijangka menjadi cabaran besar buat skuad negara, kata jurulatih pasukan Tay Teck Kheng.

Beliau berkata peraturan baharu itu menuntut keseragaman prestasi serta ketepatan tinggi daripada semua ahli pasukan tanpa memberi ruang kepada sebarang kesilapan yang boleh menjejaskan keseluruhan pasukan.

"Kita guna format dunia. Kalau ikut format lama, kita mungkin ada peluang lebih bagus sebab perseorangan main enam permainan, beregu satu orang main enam permainan, berpasukan pun satu orang main enam permainan. Jadi, kalau pasukan kita agak seimbang, kita senang untuk menang.

"Format baharu satu permainan, satu pemain hanya dua balingan. Ya, itu sebab ia sangat sukar. Itu yang saya banyak praktis untuk dia orang untuk main balingan spare. Yang paling mustahaklah, tak dapat strike, dapat spare pun, masih kami boleh bertahan," katanya selepas lawatan Ketua Kontinjen (CDM) ke venue latihan atlet pekak boling Deaflympics Tokyo 2025 di sini hari ini.

Terdahulu, Persatuan Sukan Orang Pekak Malaysia (MSDeaf) mengekalkan sasaran mengutip tiga pingat emas pada Deaflympics Tokyo 2025 bulan depan, dengan dua daripadanya menerusi badminton dan satu boling.

Mengulas lanjut, Teck Kheng memaklumkan skuad negara akan menyertai kesemua tujuh acara yang dipertandingkan pada edisi kali ini dengan tumpuan utama pada acara berpasukan lelaki.

"Saya punya sasaran pun kilauan emas tu memang kalau boleh kita akan dapat, kemungkinan besar dalam acara berpasukan lelaki. Acara campuran pun kami ada peluang, tapi tumpuan utama tetap pada pasukan lelaki," ujarnya.

Beliau turut menjangka Korea Selatan dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) bakal menjadi pencabar utama negara berdasarkan pengalaman luas mereka di pentas antarabangsa.

"Pasukan UAE dengan Korea Selatan memang kuat. Pemain Korea Selatan saya pernah jumpa pada Sukan Asia Pacific, mereka ada dua pemain yang memang kuat.

"UAE pula pemain mereka selalu main dengan orang biasa, bukan dengan orang pekak sahaja. Dia orang masuk pertandingan seperti Terbuka Malaysia dan Terbuka Sarawak untuk dapatkan pengalaman," katanya.

-- BERNAMA





#Deaflympics Tokyo 2025 #skuad negara #pingat emas #balingan spare