SUKAN
Dele Alli: Dari bintang harapan ke kisah penuh kesayuan tanpa haluan

Dele Alli dilaporkan sedang mempertimbangkan untuk bersara daripada bola sepak profesional pada usia 29 tahun, susulan masa depannya yang semakin tidak menentu bersama Como.
Bekas bintang Tottenham Hotspur dan pemain kebangsaan England, Dele Alli, dilaporkan sedang mempertimbangkan untuk bersara daripada bola sepak profesional pada usia 29 tahun, susulan masa depannya yang semakin tidak menentu bersama Como.
Menurut laporan La Gazzetta dello Sport, Alli telah diketepikan daripada perancangan pengendali Como, Cesc Fàbregas, menjelang musim baharu Serie A.
Sejak menyertai kelab Itali itu pada Januari lalu, Alli hanya sempat membuat satu penampilan ringkas menentang AC Milan sebelum dilayangkan kad merah selepas sembilan minit beraksi.
Difahamkan, pemain itu kini menjalani latihan secara berasingan daripada skuad utama dan sedang mencari destinasi baharu.Namun, sekiranya tiada tawaran sesuai diterima dalam masa terdekat, dia mungkin mengambil keputusan drastik untuk menamatkan kariernya lebih awal daripada jangkaan.
Dari harapan ke kehampaan
Alli mula mencuri tumpuan ketika menyarung jersi Milton Keynes Dons (MK Dons), kelab tempatannya yang disertai sejak peringkat remaja.
Bakat besarnya mula meledak apabila dia menjaringkan gol menentang Manchester United pada usia 18 tahun dalam saingan Piala Liga.
Penampilan cemerlang itu menarik minat Tottenham Hotspur, yang mendapatkan khidmatnya pada 2015.
Bersama Spurs, Alli pantas menyesuaikan diri di Liga Perdana Inggeris dan meraih anugerah PFA Young Player of the Year dua kali berturut-turut (2016, 2017).
Alli mencatat lebih 60 gol dalam lebih 250 penampilan untuk Spurs, menjadi tonggak utama skuad kendalian Mauricio Pochettino.
Namun, selepas kejatuhan prestasi yang ketara, Alli berpindah ke Everton pada awal 2022 tetapi gagal meninggalkan impak.
Bintang itu kemudiannya dipinjamkan ke Beşiktaş di Turki, sebelum berpindah ke Como 1907 pada awal 2025 dengan harapan menghidupkan semula kariernya.
Masalah berpanjangan
Alli pernah dianggap antara pemain muda paling menyerlah dalam bola sepak England. Selain menjadi watak penting dalam kemaraan England ke separuh akhir Piala Dunia 2018, dia juga pernah menjadi simbol generasi baharu yang berani dan kreatif.
Namun, prestasinya merudum sejak beberapa musim lalu, dipengaruhi oleh kecederaan berpanjangan serta isu kesihatan mental yang dikongsi secara terbuka dalam satu wawancara bersama Gary Neville pada 2023.
Perpindahan ke Como dilihat sebagai peluang terakhir buat Alli untuk bangkit, tetapi kecederaan hamstring serta persembahan tidak memberangsangkan dalam latihan terus membantutkan usahanya.
Masa kian suntuk
Walaupun spekulasi mengenai persaraan terus meningkat, sumber terdekat pemain menyatakan Alli masih terbuka kepada tawaran asalkan bersesuaian dengan cita rasanya dan memberikan peluang bermain secara kompetitif.
Namun, kekurangan minat daripada kelab utama Eropah setakat ini meningkatkan kemungkinan dia akan menggantung but dalam masa terdekat.
Simpati dunia bola sepak
Legenda England, Rio Ferdinand menyifatkan situasi Alli sebagai “sangat menyedihkan”, merujuk kepada potensi besar yang pernah dimiliki pemain itu.
Beberapa bekas rakan sepasukan juga menyuarakan simpati terhadap perjalanan karier Alli yang penuh cabaran dan tekanan.
Sehingga kini, Dele Alli belum membuat sebarang pengumuman rasmi mengenai masa depannya.
Namun, dengan situasi semasa di Como dan tanpa tawaran konkrit dari mana-mana kelab utama, karier profesional pemain yang pernah menjadi nadi skuad Three Lion itu kini berada di persimpangan paling getir.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami