SUKAN

Delonte West, dari atlet jutawan akhirnya menjadi pengemis jalanan

Astro Arena 10/06/2025 | 08:50 MYT
Kisah tragis Delonte West dari NBA menunjukkan bahaya kesihatan mental dan pengurusan kewangan. - Stadium Astro
ANTARA perkara yang sering kita akan perkatakan ketika kita menyebut bintang-bintang sukan terkemuka dunia terutamanya membabitkan atlet bola sepak Liga Perdana Inggeris (EPL) adalah jumlah bayaran yang diterima mereka.


Ringkasan AI
  • Walaupun atlet sukan terkenal menerima bayaran tinggi, tidak semua berakhir dengan kehidupan mewah, seperti bekas penjaga gol EPL David James yang diisytiharkan muflis selepas kehilangan semua harta dan terpaksa menjual koleksi peribadi untuk terus hidup.
  • Kisah tragis Delonte West dari NBA menunjukkan bahaya kesihatan mental dan pengurusan kewangan, di mana beliau kehilangan kekayaan RM67 juta, berdepan masalah jenayah, serta akhirnya hidup gelandangan sebelum rakan-rakan NBA membantunya pulih.
  • Kemewahan dan populariti tidak menjamin masa depan yang cerah bagi atlet, tetapi disiplin dan pengurusan yang baik adalah kunci untuk mengekalkan kestabilan selepas karier sukan mereka.


Apatah lagi seandainya mereka membarisi pasukan kelab ternama dan utama liga, sudah pastinya jumlah pembayaran tersebut terlalu besar hingga sukar untuk digambarkan kemewahan yang mampu dijelmakan oleh mereka ini.

Namun dalam sejarah bintang sukan tersohor, tidak semua atlet sukan yang menerima pembayaran yang besar itu mengakhiri kehidupan mereka dengan cemerlang dan kekal dalam serba serbi kemewahan.
Iklan

Banyak juga sebenarnya sudah sering disiarkan dalam media tentang nasib malang sebahagian atlet yang akhirnya hidup melarat di penghujung usia malah sehingga menjadi pengemis di jalanan.

Peminat Liverpool dan Manchester City tentunya masih lagi ingat kisah penjaga gol hebat satu ketika dahulu iaitu David James.

Beliau boleh dikatakan antara pemain EPL yang mendapat bayaran tertinggi di eranya namun akhirnya malang menimpa selepas beliau diisytiharkan muflis.

Beliau pernah menerima gaji berjumlah sekitar RM300,000 setiap minggu ketika beliau masih aktif dalam EPL.

Namun ketika di akhir kariernya di usia 26 tahun, semua kemewahan yang dimilikinya itu akhirnya hilang selepas diisytihar muflis.

Situasi itu lebih memburuk apabila tuntutan pampasan penceraian dilakukan oleh bekas isterinya di mahkamah terhadap harta yang dia miliki ketika itu.

Hingga satu ketika dia terpaksa menjual semua koleksi barangan peribadi bola sepak yang disimpan untuk meneruskan kehidupan ketika itu.

Namun ia juga tidak mencukupi sehingga memaksa beliau tidur dijalanan walaupun untuk satu tempoh yang tidaklah terlalu lama.

Jika dalam dunia bola keranjang Amerika Syarikat (NBA) pula, peminat juga masih lagi segar dengan kisah malang yang melanda Delonte West.

Bekas bintang ternama Boston Celtic, Seattle Supersonics, Cleveland Cavaliers dan Dallas Mavericks itu pernah mengumpul sejumlah RM67 juta sepanjang sembilan musim kariernya dalam NBA.

Namun akhirnya West terpaksa menghabiskan sisa kehidupannya di jalanan dan sering dilihat membongkar tong sampah untuk mencari sisa makanan orang untuk mengisi perutnya yang lapar.

Kisah duka atlet bola keranjang itu bermula pada 2008 apabila dia disahkan menghidap masalah kesihatan mental dan dalam masa yang sama berdepan dengan masalah kewangan yang serius.

Situasi itu menjerumuskan beliau dalam beberapa masalah lain termasuk jenayah yang memaksanya berdepan dengan siri pendakwaan dan tindakan mahkamah.

Pada 2012 karier beliau dalam industri sukan tersohor Amerika Syarikat itu berakhir sepenuhnya pada 2012.
Kehidupan mewah yang didambarkan majoriti atlet sukan lain dalam kehidupan akhirnya sedikit demi sedikit musnah yang menyaksikan West kemudianya menghabiskan kehidupanya di kaki lima.

Taraf kehidupan West selepas itu berubah 360 darjah di mana kelibatnya sentiasa dilihat di jalanan dengan keadaan yang tidak terurus dan menakutkan.

Sehinggalah pada 2016 video West yang meminta sumbangan di sekitar jalanan Maryland menjadi tular dan akhirnya sampai ke pengetahuan rakan-rakan atlet bola keranjang yang pernah bermain bersamanya di NBA.

Ketika itu West telahpun mengalami kemurungan yang maksimum dan bergelumang dengan najis dadah.
Namun atas dasar simpati dan kasihan terhadap nasibya itu, bekas rakan-rakan sepasukanya sepakat untuk berusaha mengumpulkan bantuan untuk membolehkan West mengubah nasibnya kembali.

West dikira bernasib baik kerana bekas rakan sepasukanya mengambil inisiatif untuk mengambilnya dari jalanan dan sanggup membayar pusat perubatan bagi memulihkan keadaannya.

Malah mereka juga telah menyumbangkan kediaman baru buat West untuk membolehkan beliau kembali menjalani kehidupan yang normal.

Sepanjang kariernya di NBA, bakat West sememangnya diakui hebat dan dia antara pemain yang peling ramai memiliki peminat ketika itu.

Namun kemewahan tidak pernah menjanjikan masa depan yang cerah selamanya seandainya ia gagal diuruskan dengan betul.

Apa yang paling penting adalah bagaimanakah seseorang atlet itu menyiapkan kekuatan diri untuk mengawal kemahuan dan tingkah laku mereka ketika berada di puncak dengan kehidupan yang dipenuhi oleh populariti, wang dan segala kemewahan yang mampu mengubah seseorang manusia itu dengan begitu drastik. -- Stadium Astro




#Delonte West #atlet jutawan #pengemis jalanan #kemewahan