SUKAN

Drama 3-3 di Selhurst Park: Mateta selamatkan Palace dengan hatrik

Muhamad Syazwan Jonizar 18/10/2025 | 23:20 MYT
Perlawanan ini turut mencipta beberapa rekod menarik. Palace kini tidak tewas dalam 10 perlawanan Liga Perdana di laman sendiri. - Foto REUTERS
JEAN-Philippe Mateta muncul wira Crystal Palace apabila menjaringkan hatrik pada separuh masa kedua termasuk gol penyamaan lewat masa kecederaan menerusi sepakan penalti bagi membantu pasukannya mengikat AFC Bournemouth 3-3 dalam aksi mendebarkan di Selhurst Park.


Ringkasan AI
  • Jean-Philippe Mateta menjaringkan tiga gol, termasuk penalti masa kecederaan, untuk membantu Crystal Palace seri 3-3 menentang Bournemouth dalam aksi dramatik di Selhurst Park.
  • Bournemouth hampir menang selepas gol minit ke-89 oleh Ryan Christie, namun penalti lewat akibat kekasaran ke atas Marc Guehi membolehkan Palace menyamakan kedudukan.
  • Perlawanan ini menyaksikan dua pemain Perancis menjaringkan dua gol atau lebih buat kali pertama sejak 2005, dan Palace kini mencatat 10 perlawanan tanpa kalah di laman sendirirekod terbaik sejak 1990.


Bournemouth hampir membawa pulang tiga mata penuh selepas Ryan Christie meledak pada minit ke-89, namun harapan itu musnah apabila Marc Guehi dijatuhkan oleh Bafode Diakite di dalam kotak penalti.

Mateta, yang turut menjaringkan gol pada penampilan sulungnya bersama skuad kebangsaan Perancis minggu lalu, tenang menyempurnakan sepakan dari jarak 12 ela untuk memastikan satu mata buat The Eagles.

Anak buah Andoni Iraola bermula garang apabila dua jaringan Eli Kroupi di babak pertama memberikan mereka kelebihan 2-0. Namun, Palace bangkit selepas rehat, dengan dua gol pantas Mateta menyamakan kedudukan sebelum Christie kembali meletakkan Bournemouth di depan.

Perlawanan ini turut mencipta beberapa rekod menarik. Palace kini tidak tewas dalam 10 perlawanan Liga Perdana di laman sendiri (5 menang, 5 seri) rekod terbaik mereka sejak 1990, apabila mencatat 17 aksi tanpa kalah di Selhurst Park antara Februari hingga Disember tahun tersebut.

Selain itu, hasil jaringan berganda Kroupi dan hatrik Mateta menjadikan perlawanan ini kali pertama dua pemain Perancis menjaringkan dua gol atau lebih dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris sejak Ogos 2005, ketika Thierry Henry dan Pascal Cygan melakukannya untuk Arsenal menentang Fulham dan kali pertama ia berlaku dengan wakil dari kedua-dua pasukan.

Dengan keputusan ini, Bournemouth kekal di tangga keempat dengan 15 mata, manakala Palace dua mata di belakang di tangga kelapan.





#Jean-Philippe Mateta #Crystal Palace #AFC Bournemouth #wira