Dua beregu campuran negara mara ke separuh akhir Terbuka China

Bernama
September 8, 2023 09:23 MYT
Pasangan beregu campuran Chen Tang Jie-Toh Ee Wei berjaya menumpaskan pasangan Taiwan Ye Hong Wei-Lee Chia Hsin, 21-15, 13-21 dan 21-16 dalam aksi suku akhir pada Jumaat. - Foto Facebook BAM
KUALA LUMPUR: Dua beregu campuran negara berhasil menempah slot separuh akhir Kejohanan Badminton Terbuka China 2023, selepas menumpaskan lawan masing-masing di Gimnasium Pusat Sukan Olimpik di Changzhou, hari ini.
Pada aksi suku akhir hari ini, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei bagaimanapun terpaksa berhempas pulas selama 55 minit sebelum berjaya menumpaskan pasangan Taiwan Ye Hong Wei-Lee Chia Hsin, 21-15, 13-21 dan 21-16.
Juara Terbuka Taiwan 2023 itu akan membuat perhitungan bersama pilihan kelapan kejohanan Thom Gicquel-Delphine Delrue dari Perancis, esok.
Turut mengiringi mereka ialah Tan Kian Meng-Lai Pei Jing yang melakar kejutan menewaskan pilihan keempat kejohanan Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai dari Thailand menerusi perlawanan straight set 21-18 dan 21-19.
Kian Meng-Pei Jing yang menghuni ranking ke-23 dunia akan bertemu pasangan Korea Selatan Seo Seung Jae- Chae Yu Jung, yang juga pilihan kelima kejohanan pada pusingan separuh akhir esok.
-- BERNAMA
#beregu campuran #Terbuka China #badminton #Chen Tang Jie-Toh Ee Wei