Dua gol Brooker bantu Afrika Selatan tewaskan Malaysia 3-1

Skuad hoki lelaki remaja kebangsaan (gambar) memulakan kempen dengan kemenangan 5-1 ke atas Austria pada Sabtu, namun tewas 0-6 kepada Belanda pada Ahad dan 1-3 kepada England pada Selasa. - Facebook Malaysian Hockey Confederation
KUALA LUMPUR: Dua jaringan Jaydon Brooker memastikan Afrika Selatan menumpaskan skuad hoki lelaki remaja kebangsaan 3-1 dalam perlawanan klasifikasi tempat kesembilan hingga ke-16 pada Piala Dunia Remaja 2025 di Chennai, India, semalam.
Gol-gol Brooker hadir hasil penyudah bijak daripada situasi pukulan sudut penalti masing-masing pada minit ke-18 dan ke-39 perlawanan di Stadium Hoki Mayor Radhakrishnan.
Malaysia merapatkan jurang menerusi pukulan sudut penalti oleh Muhammad Aqil Danial Mat Ruslee pada minit ke-49, namun Ross Montgomery menoktahkan kemenangan Afrika Selatan dengan jaringan daripada situasi sama dua minit sebelum tamat perlawanan.
Keputusan itu menyaksikan Malaysia akan bersaing dalam perlawanan penentuan klasifikasi ke-13 hingga ke-16 menentang sama ada Switzerland atau Ireland.
Sebelum ini, skuad Young Tigers gagal mara ke suku akhir selepas menamatkan kempen Kumpulan E di tempat ketiga dengan tiga mata.
Anak buah Nor Saiful Zaini Nasiruddin memulakan kempen dengan kemenangan 5-1 ke atas Austria pada Sabtu, namun tewas 0-6 kepada Belanda pada Ahad dan 1-3 kepada England pada Selasa.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


