23 Delegasi Malaysia Bebas dari Israel, Kini di Istanbul untuk Pemeriksaan & Sokongan – Ikuti Perkembangan Terkini di sini
SUKAN

Dua gol Vinicius Junior bawa Real Madrid kembali ke puncak La Liga

Muhamad Syazwan 05/10/2025 | 07:01 MYT
Vinicius Junior menjaringkan dua gol ketika Real Madrid bangkit daripada kekalahan memalukan kepada Atletico minggu lalu. - Foto Reuters
VINICIUS Junior menjaringkan dua gol ketika Real Madrid bangkit daripada kekalahan memalukan kepada Atletico minggu lalu dengan menewaskan Villarreal 3-1 di Santiago Bernabeu, sekali gus naik ke tangga teratas La Liga.


Ringkasan AI
  • Real Madrid tewaskan Villarreal 3-1 di Santiago Bernabeu, bangkit selepas kekalahan kepada Atletico dan kini mendahului La Liga dengan 21 mata.
  • Vinicius Junior menjaringkan dua gol satu hasil hantaran Mbappe dan satu penalti sebelum Mbappe menambah gol ketiga walaupun terpaksa keluar akibat kecederaan.
  • Villarreal merapatkan jurang melalui Georges Mikautadze, tetapi kad merah Santiago Mourino dan gol Mbappe memastikan kemenangan Real; Barcelona ketinggalan dua mata.


Selepas separuh masa pertama yang hambar hingga pemain Real Madrid disambut dengan siulan, Vinicius hanya mengambil masa 90 saat selepas rehat untuk membuka jaringan. Hantaran flick Kylian Mbappe disambutnya sebelum rembatan yang terkena defleksi Santi Comesana menewaskan Arnau Tenas.

Bintang Brazil itu sekali lagi jadi watak utama apabila menyempurnakan penalti pada minit ke-69 selepas dijatuhkan Rafa Marin. Namun Villarreal tidak mudah menyerah dan merapatkan jurang menerusi rembatan deras Georges Mikautadze.

Detik penting hadir apabila Santiago Mourino dilayangkan kad merah kedua kerana menarik Vinicius. Hanya tiga minit kemudian, Mbappe menyempurnakan hantaran Brahim Diaz untuk memastikan kemenangan Real.

Walaupun Mbappe terpaksa keluar padang akibat kecederaan kaki sejurus selepas menjaringkan gol, kemenangan itu sudah cukup meletakkan Real dengan 21 mata selepas lapan perlawanan, dua mata di hadapan Barcelona yang bakal menentang Sevilla pada Ahad. Villarreal kekal di tangga ketiga dengan 16 mata.




#Real Madrid #La Liga #Vinicius Junior #Villarreal