ISTANBUL: Serangan tentera Israel ke atas orang awam yang mencari perlindungan di hospital dan sekolah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Semenanjung Gaza memasuki hari ke-40 pada Rabu.

Tetapi badan induk bola sepak Eropah mahupun dunia iaitu UEFA dan FIFA masing-masing belum mengeluarkan kenyataan mengutuk atau mengenakan hukuman ke atas Tel Aviv.

Sikap pilih kasih UEFA dan FIFA itu amat ketara dalam kes Israel kerana apabila Rusia memulakan perang terhadap Ukraine pada 24 Feb 2022, dua badan bola sepak utama itu mengeluarkan kenyataan pada hari yang sama mengutuk peperangan dan mengenakan sekatan terhadap Moscow pada hari keempat.

Sebagai akibatnya, kelab-kelab Rusia dan pasukan kebangsaannya digantung daripada menyertai semua pertandingan bola sepak.

Bagaimanapun, pihak berkuasa utama yang mengawal bola sepak Eropah dan antarabangsa itu tidak menggantung Israel dan pasukan kebangsaannya daripada pertandingan mereka walaupun Israel terus menyerang Gaza, lapor Agensi Anadolu.

Lebih 11,000 penduduk Palestin terbunuh dalam serangan udara dan serangan darat Israel sejak 7 Oktober. Ribuan bangunan, termasuk hospital, masjid dan gereja juga telah rosak atau musnah sepenuhnya.

Kelab dan pasukan kebangsaan Rusia telah dihalang daripada pertandingan antarabangsa dan masih tidak dibenarkan menyertai Piala Dunia FIFA atau pertandingan EURO UEFA.

Pasukan kebangsaan Portugal menggantikan Rusia selepas mereka dilarang menyertai Kejohanan EURO Wanita UEFA 2022. Rusia juga dihalang oleh FIFA daripada bertanding dalam Piala Dunia lelaki 2022 yang diadakan pada November-Disember di Qatar.

Selain itu, UEFA dan FIFA turut mengecam insiden tembakan di Brussels pada 16 Okt.

Dua warga Sweden maut manakala seorang lagi cedera dalam kejadian tembakan berhampiran Stadium King Baudouin.

UEFA menangguhkan perlawanan kelayakan EURO 2024 antara Belgium dan Sweden atas sebab keselamatan selain bertafakur selama seminit semasa aksi kelayakan lain untuk memberi penghormatan kepada mangsa serangan Brussels.

Bagaimanapun, badan bola sepak itu tidak memberi penghormatan kepada mereka yang terkorban di Gaza.

Selain itu pada Oktober, UEFA menjadualkan semula perlawanan melibatkan pasukan kebangsaan Israel, termasuk pasukan wanita dengan aksi di tempat sendiri perlu diadakan di negara lain atas sebab keselamatan.

Pada Ahad, Kosovo menewaskan Israel 1-0 dalam perlawanan kelayakan EURO 2024 bagi Kumpulan I yang dijadualkan semula.

Ini adalah penampilan pertama pasukan kebangsaan Israel sejak perang Tel Aviv ke atas Semenanjung Gaza. Perlawanan sepatutnya dimainkan pada 15 Oktober, tetapi UEFA sebelum ini menangguhkannya kerana konflik.

-- BERNAMA