PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini ingin mengumumkan bahawa E. Elavarasan secara rasminya melepaskan jawatan selaku ketua jurulatih skuad B-23 negara untuk kembali fokus kepada tugasan asalnya sebagai penolong ketua jurulatih skuad senior kebangsaan.

Elavarasan diumumkan sebagai ketua jurulatih skuad B-23 negara bagi menggantikan Brad Maloney pada 1 September tahun lalu dan pada masa yang sama masih memegang jawatan sebagai pembantu kepada ketua jurulatih skuad senior kebangsaan, Kim Pan-gon.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman, dalam satu kenyataan hari ini berkata: "FAM pada ketika itu membuat keputusan melantik Elavarasan bagi mengemudi skuad B-23 kebangsaan kerana dia berada dalam sistem kejurulatihan Pan-gon, sekali gus memudahkan proses kesinambungan untuk skuad senior dan skuad B-23 negara.

"Setahun di bawah kendalian Elavarasan, skuad B-23 kebangsaan menjuarai Piala Merlion 2023 di Singapura pada Mac lalu dan biarpun gagal dalam Sukan SEA 2023 di Kemboja pada Mei lalu, mereka berjaya layak ke separuh akhir Kejohanan AFF B-23 2023 di Rayong, Thailand pada Ogos lalu dan layak ke Piala Asia B-23 2024 selepas melepasi pusingan kelayakan di Chonburi, Thailand baru-baru ini.

"Sejurus selesai tugasan di Chonburi itu, satu perjumpaan di antara Elavarasan dan Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin, telah diadakan di Wisma FAM, Kelana Jaya bagi membincangkan hala tuju pasukan B-23 kebangsaan selepas aksi pusingan kelayakan Piala Asia B-23 2024.

"Dalam perbincangan hati ke hati itu, Hamidin dan Elavarasan telah mencapai kata sepakat dan persetujuan agar dia kembali fokus kepada tanggungjawabnya sebagai penolong ketua jurulatih skuad kebangsaan bagi membantu Pan-gon dalam skuad senior, sekali gus memberi ruang kepada individu lain untuk menggalas tugas selaku ketua jurulatih skuad B-23 kebangsaan ke Piala Asia B-23 2024 di Qatar, April depan," katanya.

FAM turut memaklumkan bahawa pengganti Elavarasan hanya akan diumumkan selepas beberapa penelitian dan perbincangan dengan pihak-pihak yang terlibat serta kata putus yang akan dicapai nanti.

*Artikel asal yang disiarkan di Stadium Astro