SUKAN

Empat atlet ekuestrian muda negara sedia galas cabaran di 3rd Asian Youth Games 2025, Bahrain

Astro Awani 21/10/2025 | 06:50 MYT
Dari kiri (depan): Noorashimah, Sonia ‘Aisyah, Arissa Audreyna, Sharifah Ariel Budriah dan Elly. Dari kiri (belakang): Mohamad Din Mat, Shaiful Azwan dan Justin Yap.
KUALA LUMPUR: Empat penunggang muda wanita negara bakal membawa nama Malaysia dalam acara ekuestrian di temasya 3rd Asian Youth Games (AYG) 2025 yang dijadualkan berlangsung di Manama, Bahrain bermula Khamis ini.


Ringkasan AI
  • Empat penunggang muda wanita negara Sharifah Ariel Budriah, Arissa Audreyna Edzwan, Sonia Aisyah Abdullah dan Elly Poh Jia Yi akan beraksi dalam acara Show Jumping di Asian Youth Games (AYG) 2025 di Manama, Bahrain bermula Khamis ini, di bawah bimbingan jurulatih kebangsaan Shaiful Azwan.
  • Persiapan intensif telah dijalankan di Belanda dan Arab Saudi termasuk latihan bersama kuda yang bakal digunakan di Bahrain, dengan penunggang menekankan cabaran keserasian kuda pinjam serta kekuatan mental menjelang pertandingan antarabangsa.
  • Temasya AYG 2025 menghimpunkan lebih 4,300 atlet muda dari 45 negara Asia merangkumi 21 jenis sukan, dan penyertaan empat remaja ini dilihat sebagai langkah besar buat pembangunan sukan ekuestrian wanita negara di pentas antarabangsa.


Mereka adalah Sharifah Ariel Budriah Jamalullail, 15; Arissa Audreyna Edzwan, 17; Sonia ‘Aisyah Abdullah, 15; dan Elly Poh Jia Yi, 16, yang masing-masing akan beraksi dalam kategori Show Jumping di bawah bimbingan jurulatih kebangsaan Shaiful Azwan.

Temasya AYG 2025 anjuran Majlis Olimpik Asia (OCA) itu bakal menghimpunkan lebih 4,300 atlet muda dari 45 negara Asia, merangkumi 21 jenis sukan termasuk ekuestrian. AYG 2025 adalah edisi ketiga selepas Singapura (2009) dan Nanjing, China (2013).

Menurut Sharifah Ariel Budriah, latihan dan persiapan turut dijalankan di Belanda dan Arab Saudi termasuk bersama kuda yang bakal digunakan di Bahrain.

“Saya telah menjalani latihan intensif di Belanda bagi persiapan sebelum ke temasya dan saya telah mendapat banyak ilmu yang luas untuk memantangkan lagi mutu tunggangan. Saya juga mendapat pendedahan menunggang pelbagai jenis kuda yang berkualiti yang mempunyai pelbagai berbezaan cara tunggangan.

“Selepas di Belanda, saya juga bakal menjalani latihan di Arab Saudi bagi persiapan pemanas badan untuk persediaan terakhir dan membawa kuda tersebut ke Bahrain. Ini amat penting bagi saya untuk mengenal pasti kuda yang bakal di gunakan semasa di Bahrain nanti.

“Bagaimanapun saya berharap saya bersama pasukan dapat memberi yang terbaik pada pertandingan itu. Saya bersama Arissa, Sonia dan Elly sedang gigih berlatih dan bekerja keras untuk pertandingan ini. Doakan kami,” katanya.

Arissa berkata, cabaran terbesar bukan terletak pada fizikal, tetapi kekuatan mental.


Bagi Arissa Audreyna, yang sebelum ini pernah mewakili Malaysia di peringkat antarabangsa, peluang kedua ini menjadi medan untuk beliau menampilkan hasil latihan intensif yang dijalani di Belgium selama sebulan.

“Saya sangat teruja untuk mewakili Malaysia buat kali kedua. Latihan di Belgium memang lebih sukar kerana setiap kuda ada karakter tersendiri dan saya perlu mencari keserasian bersama di antara kami. Kadang-kadang agak menakutkan, tetapi saya perlu percaya pada diri dan kuda yang ditunggang,” katanya.

Tambah Arissa, cabaran terbesar bukan terletak pada fizikal, tetapi kekuatan mental.

“Musuh terbesar sebenarnya adalah diri sendiri iaitu cara kita berfikir lebih-lebih lagi pertandingan semakin dekat. Jika kita takut, kuda juga akan rasa takut. Jadi saya kena terus percaya pada latihan dan naluri saya,” katanya.

Sementara itu, Sonia ‘Aisyah, yang juga merupakan peserta termuda dalam pasukan, mengakui penyertaan ini amat bermakna dan mencabar buatnya.

“Ini kali pertama saya mewakili negara di peringkat antarabangsa dan saya amat bangga dengan peluang ini dan berazam untuk melakukan yang terbaik.

“Saya telah menjalani latihan intensif di Belanda dengan menunggang kuda-kuda yang berpotensi tinggi dan berkaliber. Saya telah mendapat banyak ilmu dan keyakinan diri untuk beraksi di arena antarabangsa selepas mendapat pendedahan menunggang pelbagai jenis kuda yang mempunyai karakter dan ragam berbeza.

“Saya juga bersyukur mendapat tunjuk ajar dan panduan daripada jurulatih-jurulatih yang banyak membimbing serta menambahbaik teknik dan kebolehan kami.

“Untuk persiapan terakhir menjelang 3rd Asian Youth Games 2025, saya bersama ahli pasukan Malaysia sedang berlatih di Riyadh, Arab Saudi sebelum ke Bahrain,” ujarnya.

Seorang lagi wakil negara Elly Poh, menekankan kepentingan keserasian dan keselamatan ketika mengendalikan kuda baharu amatlah perlu agar tiada masalah ketika beraksi nanti.

“Untuk pertandingan antarabangsa, biasanya kami guna kuda pinjam (borrowed) atau sewa (lease). Jadi cabarannya adalah untuk memahami perangai kuda tersebut. Dan aspek paling penting adalah keselamatan, maka kita perlu tahu cara-cara mengendalikan kuda ini.

“Bagi persiapan terakhir saya mengikuti pasukan saya ke Arab Saudi pada awal bulan Oktober lalu bagi persediaan terakhir ke Tamasya di Bahrain. Saya berharap kuda yang saya di tunggang dapat memberi kesesuaian dan sedia memberi kerjasama yang terbaik supaya membantu pasukan kami.

“Pastinya saya teruja untuk menghadapi pertandingan ini kerana saya mahu ia menjadi pengalaman bermakna dan batu loncatan untuk menyertai lebih banyak pertandingan antarabangsa selepas ini,” katanya.

Sementara itu, jurulatih Shaiful Azwan yakin anak-anak didiknya cukup bersedia menjelang aksi pertama 23 Oktober ini.

“Mereka sudah menunjukkan komitmen tinggi sepanjang latihan. Saya yakin dengan kemampuan masing-masing.

“Latihan kali ini disusun dengan strategi khas yang menumpukan kepada penyesuaian pantas terhadap kuda baharu dan kawalan emosi ketika bertanding.

“Mereka juga berlatih tanpa henti di dalam dan luar negara untuk mendapat pengalaman yang lebih meluas. Dan sekarang ini kita berserah dan doa yang terbaik buat mereka,” ujarnya.

Pengurus pasukan, Justin Yap pula berkata bahawa peranannya adalah memastikan semua urusan pasukan berjalan lancar dan mematuhi piawaian ditetapkan.

“Saya bertanggungjawab untuk berurusan dengan Majlis Olimpik Malaysia (OCM), Majlis Sukan Negara (MSN) dan Persatuan Ekuestrian Malaysia (EAM) bagi memastikan semua proses berkaitan atlet dan pegawai berada dalam keadaan teratur.

“Selain itu, saya alan memastikan semua penunggang mematuhi peraturan serta memberi tumpuan kepada aspek keselamatan dan kebajikan kuda,” katanya.

Penyertaan empat remaja ini dilihat sebagai langkah besar buat sukan ekuestrian tanah air yang semakin menunjukkan perkembangan positif, terutama dalam kalangan atlet muda wanita.

Selain membawa nama Malaysia, keempat-empat mereka juga mencerminkan semangat generasi baharu yang berani mencabar diri di pentas antarabangsa dan membawa aspirasi tinggi untuk masa depan sukan berkuda negara.


Fakta ringkas mengenai 3rd Asian Youth Games 2025:

#atlet Malaysia #sukan ekuestrian #Asian Youth Games #AYG 2025