SUKAN

Enzo Maresca tinggalkan Chelsea

Bernama 01/01/2026 | 15:45 MYT
Maresca, bekas pengendali Leicester City, dilantik sebagai pengganti Mauricio Pochettino pada Jun 2024. - Gambar AP
LONDON: Enzo Maresca tidak lagi memegang jawatan sebagai ketua jurulatih Chelsea selepas 18 bulan mengendalikan pasukan itu, lapor PA Media/dpa.


Ringkasan AI
  • Enzo Maresca letak jawatan sebagai ketua jurulatih Chelsea selepas hanya satu kemenangan daripada tujuh perlawanan liga terakhir, meninggalkan kelab di kedudukan kelima Liga Perdana Inggeris.
  • Prestasi hambar Chelsea dan hubungan tegang dengan tokoh penting Stamford Bridge menimbulkan spekulasi mengenai masa depan Maresca, yang akhirnya berpisah dengan kelab itu.
  • Meskipun membawa Chelsea ke Liga Juara-Juara, memenangi trofi "Conference League" dan Piala Dunia Kelab, Enzo Maresca meninggalkan jawatan selepas 18 bulan mengendalikan pasukan itu.


Jurulatih dari Itali itu meninggalkan kelab ketika Chelsea berada di kedudukan kelima dalam carta Liga Perdana Inggeris, ketinggalan 15 mata di belakang pendahulu Arsenal, selepas hanya mencatat satu kemenangan daripada tujuh perlawanan liga terakhir.

Spekulasi mengenai masa depan Maresca semakin memuncak ketika prestasi hambar pasukan itu, di tengah-tengah laporan mengenai hubungannya yang tegang dengan beberapa tokoh penting di Stamford Bridge.

"Kelab Bola Sepak Chelsea dan ketua jurulatih Enzo Maresca telah mencapai persetujuan untuk berpisah.

"Dengan beberapa sasaran utama masih menjadi buruan dalam empat kejohanan, termasuk kelayakan ke Liga Juara-Juara, Enzo dan kelab percaya bahawa perubahan ini memberi peluang terbaik untuk mengembalikan prestasi pasukan ke landasan yang betul," menurut kenyataan kelab itu.

Maresca, bekas pengendali Leicester City, dilantik sebagai pengganti Mauricio Pochettino pada Jun 2024.

Jurulatih berusia 45 tahun itu membimbing Chelsea layak ke Liga Juara-Juara menerusi kedudukan keempat liga musim lalu, selain memenangi trofi "Conference League" dan Piala Dunia Kelab.

Kontrak beliau dijadual berakhir pada 2029, dengan opsyen lanjutan selama setahun.

-- BERNAMA

#Chelsea #ketua jurulatih #Liga Perdana Inggeris #Piala Dunia