EPL: Brighton buat impian kejuaraan Arsenal kian terpadam

Astro Arena
Mei 15, 2023 02:20 MYT
Pemain Brighton Pervis Estupinan (terlindung) meraikan bersama rakan-rakan selepas menjaringkan gol ketiga pasukannya ketika perlawanan EPL antara Arsenal dan Brighton & Hove Albion di Stadium Emirates, London, 14 Mei 2023. (Foto AP)
ARSENAL 0 BRIGHTON & HOVE ALBION 3
Impian Arsenal untuk bergelar juara Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini kian terpadam selepas tewas kepada 0-3 kepada Brighton di Stadium Emirates awal pagi tadi.
Jaringan Julio Enciso, Deniz Undav dan Pervis Estupinan menyaksikan The Gunners terlepas tiga mata penting untuk bersaing merebut gelaran itu dengan pendahulu liga, Manchester City.
Kekalahan itu juga menyaksikan City hanya memerlukan satu lagi kemenangan daripada tiga baki perlawanan dalam tangan mereka untuk mempertahankan gelaran liga divisyen utama itu dan mereka boleh melakukannya seawal hujung minggu ini sewaktu melayani tandangan Chelsea.
Buat Brighton pula, kemenangan terbaru itu sudah pasti membuka peluang untuk mereka memburu penamat empat teratas memandangkan pasukan bimbingan Roberto De Zarbi itu kini menduduki tangga keenam dan berkelebihan satu perlawanan dalam tangan berbanding Liverpool, Manchester United dan Newcastle United.
#EPL #Brighton and Hove Albion #Arsenal #Manchester City