SUKAN

EPL: Chelsea raih kemenangan penuh dramatik di Stamford Bridge

Astro Arena 01/02/2026 | 00:30 MYT
Enzo Fernandez meraikan kemenangan pasukannya selepas tamat perlawanan EPL antara Chelsea dan West Ham United di Stamford Bridge, London, Britain, 31 Jan 2026. REUTERS
STAMFORD Bridge menyaksikan Chelsea mengerah keringat untuk melakar kebangkitan daripada ketinggalan dua gol untuk mengatasi West Ham 3-2 dalam aksi Liga Perdana Inggeris semalam.

Enzo Fernandez muncul wira apabila gol kemenangan yang diledak dalam masa kecederaan melengkapkan kebangkitan dramatik kedua berturut-turut Chelsea di bawah kendalian pengendali baharu, Liam Rosenior.

West Ham, yang bergelut dalam zon penyingkiran ketika ini, mempamerkan permulaan langkah kanan apabila mendahului seawal minit ketujuh menerusi kapten, Jarrod Bowen, sebelum Crysencio Summerville menggandakan kelebihan pelawat setengah jam kemudian hasil hantaran Aaron Wan-Bissaka.

Ketinggalan dua jaringan sehingga tamat separuh masa pertama memaksa Rosenior membuat tiga pertukaran pemain pada waktu rehat.

Keputusan itu membuahkan hasil apabila dua pemain gantian, Joao Pedro dan Marc Cucurella, masing-masing meledak gol untuk mengikat kedudukan.

Gol kemenangan yang dinanti-nanti berjaya dihasilkan oleh Fernandez apabila tampanannya pada minit kedua masa kecederaan menerjah gawang sekali gus menyaksikan penyokong tuan rumah bersorak riang.

Tamat permainan, Chelsea melakar kemenangan sekali gus melonjak ke tangga keempat, dua mata di hadapan Manchester United, manakala West Ham kekal di tempat ke-18, lima mata di belakang zon selamat.







#Liga Perdana Inggeris #EPL #Chelsea #West Ham