SUKAN

EPL: Cristian Romero kekal ketua pasukan Tottenham, tiada hukuman dikenakan

Astro Arena 09/01/2026 | 05:20 MYT
Cristian Romero kelihatan kecewa selepas pengadil Darren England membatalkan keputusan penalti ketika perlawanan EPL antara AFC Bournemouth dan Tottenham Hotspur di Stadium Vitality, Bournemouth, Britain, 7 Jan 2026. REUTERS
KETUA jurulatih Tottenham Hotspur, Thomas Frank, mengesahkan Cristian Romero kekal sebagai ketua pasukan dan tidak dikenakan sebarang hukuman selepas kenyataan dibuatnya di media sosialnya.

Romero memohon maaf kepada peminat Spurs dalam satu catatan di Instagram selepas kekalahan 2-3 di Bournemouth, kelmarin.

Pada masa sama, dia memerli pengurusan tertinggi kelab itu dengan menulis: "Pada masa seperti ini, sepatutnya orang lain yang keluar untuk bersuara, tetapi tidak.

"Mereka hanya muncul apabila keadaan berjalan lancar dan mengakui merekalah yang bertanggungjawab. Sayalah yang terbaik.

"Tetapi kami akan terus menempuhinya dan cuba mengubah keadaan."

Bagaimanapun, pemain berusia 27 tahun itu tidak akan menghadapi sebarang tindakan tatatertib atas komennya yang mencetuskan perdebatan tatkala Daniel Levy sudah pun meninggalkan peranannya pada September lalu, manakala pelantikan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Vinai Venkatesham, hanya berkuat kuasa April depan.

Frank, yang semalam sudah berunding dengan Romero di samping Pengarah Sukan Bersama, Johan Lange, mengulas: Dia adalah kapten kami, dia tidak didenda.

"Ia melibatkan perkara dalaman tetapi kami belum melaksanakannya.

"Saya fikir terdapat banyak cara untuk menangani situasi yang berbeza-beza.

"Kami memilih untuk berbual dengannya, memahami pendiriannya, mengendalikannya secara dalaman dan itu sahaja yang perlu saya katakan."




#Cristian Romero #Thomas Frank #Tottenham Hotspur #ketua pasukan