MANCHESTER CITY 5 FULHAM 1

ERLING Haaland menyumbat gol hatrik dalam separuh masa kedua ketika pasukan juara bertahan, Manchester City, meraih kemenangan selesa 5-1 ke atas Fulham dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium Etihad malam tadi.

Penyerang prolifik Norway itu melengkapkan hari gemilang City selepas Fulham menuju ke bilik persalinan dalam suasana tegang berikutan jaringan kontroversi Nathan Ake pada penghujung separuh masa pertama.

Ake pada ketika itu kembali meletakkan City di depan selepas Tim Ream memadamkan gol pembukaan Julian Alvarez.

Fulham berasakan jaringan Ake tidak sepatutnya dibenarkan memandangkan Manuel Akanji, yang berada di kedudukan ofsaid, kelihatan terlibat dengan jaringan itu.

City, terutamanya Haaland, membuktikan mereka berada di satu tahap berbeza selepas waktu rehat untuk meraih satu lagi kemenangan tanpa pengurus, Pep Guardiola, yang sedang menjalani pemulihan pembedahan belakang di Barcelona. - Stadium Astro