MANCHESTER City melengkapkan perpindahan pemain tengah Croatia, Mateo Kovacic, daripada Chelsea.

Pemenang gelaran 'treble' itu mengumumkan bahawa pemain berusia 29 tahun berkenaan menandatangani kontrak empat tahun di Stadium Etihad selepas kelab itu bersetuju untuk membayar yuran pendahuluan £25 juta (RM148.49 juta) dan potensi tambahan £5 juta (RM29.70 juta), minggu lalu.

Kovacic menyertai pasukan bimbingan Pep Guardiola itu selepas lima tahun bersama Chelsea, di mana dia memenangi Liga Juara-Juara Eropah (UCL) dan Liga Europa (UEL) sewaktu melakukan 221 penampilan.

Dia merupakan pemain pertama yang ditandatangani City musim panas ini dan ketibaannya dilihat dapat mengisi kekosongan ditinggalkan Ilkay Gundogan, yang sah menyertai Barcelona secara perpindahan percuma baru-baru ini selepas tujuh tahun bersama kelab itu.