Terkini: Kes Kematian Zara Qairina – Ikuti Perkembangan di Sini
SUKAN

EPL: Liverpool sambut kemenangan dengan air mata mengenangkan DJ20

Astro Arena 15/08/2025 | 23:30 MYT
Salah kelihatan sebak selepas tamat perlawanan EPL antara Liverpool dan Bournemouth di Stadium Anfield, Liverpool, England, 15 Ogos 2025. (Foto AP)
LIVERPOOL 4 BOURNEMOUTH 2

Mohamed Salah menitiskan air mata ketika Liverpool memberi penghormatan kepada Diogo Jota dalam kemenangan 4-2 ke atas Bournemouth di Anfield yang penuh emosi pada awal pagi tadi.

Pemain Mesir itu menutup jaringan pada masa kecederaan dan meniru gaya sambutan jaringan Jota sebagai penghormatan kepada rakan sepasukannya yang meninggal dunia pada bulan lalu.

Hugo Ekitike, Cody Gakpo, dan Federico Chiesa turut menjaringkan gol dan memberi penghormatan kepada bekas penyerang itu dengan menandatangani jersi nombor 20 yang dibersarakan.

Perlawanan pembuka tirai Liga Perdana Inggeris (EPL) itu menyaksikan Anfield menjadi latar belakang acara penghormatan sempena memperingati mendiang Jota dan abangnya, Andre Silva.

Peminat menyanyikan 'You'll Never Walk Alone' sambil mengangkat bendera yang tertera muka Jota ketika pemain berkumpul mengelilingi bulatan tengah padang.

"Seperti yang saya katakan sebelum ini, seluruh dunia memberikan penghormatan kepadanya terutama dalam komuniti LFC adalah benar-benar istimewa.

"Dan saya tahu bahawa malam ini sekali lagi kami akan berkumpul untuk menghormati mereka.

"Saya percaya isteri Diogo, anak-anaknya serta keluarganya akan hadir dan adalah penting, sebagai sebuah kelab, kami menunjukkan bahawa mereka akan sentiasa mendapat kasih sayang dan sokongan daripada kami tatkala mereka menghadapi situasi paling tragis ini.

"Kami sentiasa ada untuk mereka," kata pengurus The Reds, Arne Slot.






#Liverpool #EPL #Diogo Jota #Mohamed Salah