EPL perluas kempen 'Boot Out Piracy'

Astro Awani
Ogos 12, 2021 03:25 MYT
Astro komited untuk memberikan perkhidmatan terbaik buat semua peminat sukan dengan tontonan terbaik serta tanpa sebarang gangguan.
LIGA Perdana Inggeris (EPL) teruskan kempen media anti-cetak rompak 'Boot Out Piracy' bagi meningkatkan kesedaran mengenai risiko dan kualiti tontonan yang bakal dihadapi oleh peminat yang menonton perlawanan melalui saluran penstriman haram.
Kempen tahun kedua itu melibatkan negara-negara di rantau Asia Tenggara seperti Malaysia, Indonesia, Hong Kong dan Singapura untuk mendidik peminat mengenai pengalaman kurang memuaskan menonton siaran berkualiti rendah serta risiko yang bakal dihadapi sekiranya mereka memilih untuk menonton perlawanan menerusi platform tidak sah dan menyalahi undang-undang.
“Penstriman perlawanan secara haram bukan sahaja menyebabkan peminat menghadapi isu seperti kelewatan siaran, pautan rosak serta pengiklanan ‘pop-out’, malah turut membawa mereka kepada isu seperti malware dan ransomware, yang boleh menyebabkan kecurian dan penipuan data,” kata EPL dalam satu kenyataan.
Kempen itu akan diadakan di seluruh platform digital dengan mempamerkan pemain terbaik Liga Perdana Inggeris sebagai duta kempen berkenaan antaranya Marcus Rasford, Mohamed Salah dan penyerang Tottenham Hotspurs, Son Heung-Min.
Tambah EPL lagi, kempen kali ini diperluaskan lagi ke Singapura selepas Malaysia, Indonesia dan Hong Kong yang dilancarkan pada permulaan liga musim 2020/21.
Kaji selidik yang dijalankan EPL mendapati 58 peratus penduduk Singapura menjadi mangsa jenayah siber dengan kebanyakkan mereka tidak tahu cara melindungi diri ketika dalam talian.
Malah, suku daripada responden juga mengakui pernah merasai situasi penstriman perlawanan terhenti serta berdepan isu seperti virus dan malware di dalam peranti mereka.
“Kami mengetahui laman sesawang atau platform tidak sah ini biasanya mengandungi kandungan berisiko dan penting untuk peminat bola sepak mengetahui bahawa menonton perlawanan EPL melalui plaftorm ini bukan saja menyalahi undang-undang malah meningkatkan risiko.
“Kami sedang bekerjasam dengan rakan penyiar kami dan pihak berkuasa Malaysia untuk melindungi peminat daripada yang menonton melalui penstriman haram agar mereka boleh menikmati perlawanan dengan selamat,” Kata Ketua Pengarah Bahagian Perkhidmatan Perundangan Liga Perdana Inggeris, Kevin Plumb.
Sementara itu, Ketua Bahagian Sukan Astro Malaysia, Lee Choong Khay berkata dengan kerjasama Liga Perdana Inggeris, Astro komited untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa bagi mencegah tontonan secara penstriman haram.
“Sebagai rakan penyiaran rasmi dan eksklusif di Malaysia, Astro juga komited untuk memberikan perkhidmatan terbaik buat semua peminat sukan itu dengan tontonan terbaik serta tanpa sebarang gangguan perlawanan melalui Astro TV dan Astro GO dalam dalam 4K UHD melalui Ultra Box,” katanya.
#EPL #Boot Out Piracy #Astro #penstriman haram #bola sepak #Liga Perdana Inggeris