SUKAN
EPL: Sunderland kejutkan West Ham dengan kemenangan bergaya 3-0

Daniel Ballard meraikan kejayaan menjaringkan gol kedua bersama rakan sepasukan ketika perlawanan EPL antara Sunderland dan West Ham United di Stadium of Light, Sunderland, Britain, 16 Ogos 2025. REUTERS
SAINGAN Liga Perdana Inggeris (EPL) yang dinanti-nantikan akhirnya membuka tirai minggu ini dan pendatang baharu, Sunderland kini mendahului carta liga menerusi kemenangan 3-0 ke atas West Ham United.
Kembali ke kancah EPL buat pertama kali sejak musim 2016-2017 dengan penuh bergaya, bertemu West Ham United, pasukan yang cukup arif dalam saingan EPL, namun ia tidak menghalang Sunderland mencipta kejutan.
Separuh masa kedua menyaksikan Eliezer Mayenda, Daniel Ballard dan Wilson Isidor memintas kedudukan yang dihuni juara EPL musim lalu, Liverpool, dengan jaringan masing-masing pada minit ke-61, 73 dan masa tambahan 90+2.
Perlawanan yang berlangsung di Stadium of Light itu menyaksikan Sunderland bermain dengan semangat luar biasa walaupun hanya menguasai 36% penguasaan bola. Sebaliknya, West Ham yang lebih dominan dari segi statistik gagal memanfaatkan peluang mereka.Gol pertama hadir hasil tandukan kemas Mayenda selepas sepakan sudut oleh Trai Hume, menewaskan penjaga gol West Ham, Mads Hermansen. Gol tersebut menjadi pemangkin semangat buat tuan rumah yang terus menggandakan tekanan.
Ballard kemudian menambah jaringan melalui satu lagi tandukan selepas hantaran silang dari Granit Xhaka, sebelum Isidor melengkapkan malam gemilang Sunderland dengan penyudah tenang dalam masa kecederaan.
West Ham yang kini di bawah kendalian Graham Potter tampak bergelut mencari rentak, meskipun menurunkan barisan pemain berpengalaman seperti Jarrod Bowen dan Callum Wilson.
Mereka juga kehilangan Max Kilman yang dilayangkan kad kuning akibat kekasaran terhadap Mayenda.
Pengurus Sunderland, Regis Le Bris, nyata berpuas hati dengan prestasi anak buahnya yang menunjukkan disiplin tinggi dan keberanian dalam setiap gerakan.
“Ini adalah permulaan yang kami impikan. Kami tahu cabaran EPL besar, tetapi malam ini kami buktikan kami layak berada di sini,” katanya selepas perlawanan.
Kemenangan ini bukan sahaja memberi tiga mata berharga kepada Sunderland, malah menjadi kenyataan buat penyokong mereka yang telah menanti lebih tujuh tahun untuk kembali menyaksikan aksi EPL di Stadium of Light.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami