SUKAN

Era singkat Ten Hag berakhir, Leverkusen umum pemecatan

Muhamad Syazwan 01/09/2025 | 20:00 MYT
Erik Ten Hag, selepas hanya tiga perlawanan kompetitif, menjadikan tempoh kendaliannya antara yang paling singkat dalam sejarah Bundesliga. - Gambar: AP
BAYER Leverkusen membuat keputusan mengejut apabila memecat pengurus mereka, Erik Ten Hag, selepas hanya tiga perlawanan kompetitif, menjadikan tempoh kendaliannya antara yang paling singkat dalam sejarah Bundesliga.

Jurulatih dari Belanda itu dilantik pada Mei lalu bagi menggantikan Xabi Alonso yang berhijrah ke Real Madrid dan secara rasmi memulakan tugas pada 1 Julai.

Harapan tinggi diletakkan kepadanya untuk membawa kestabilan selepas musim panas penuh huru-hara dengan ramai tonggak utama meninggalkan kelab.

Namun, rentetan keputusan hambar memadamkan keyakinan pihak pengurusan.

Leverkusen bermula dengan kemenangan mudah dalam aksi DFB-Pokal menentang pasukan divisyen empat SG Sonnenhof Großaspach, tetapi prestasi di Bundesliga mencetuskan kebimbangan.

Kekalahan 2-1 di laman sendiri kepada Hoffenheim diikuti dengan keputusan seri 3-3 menentang Werder Bremen, di mana Leverkusen melepaskan kelebihan 3-1 dan dibolosi gol penyamaan pada minit ke-94 walaupun lawan bermain dengan 10 orang.

Aksi dramatik di Bremen menjadi titik penamat buat Ten Hag.

Pada Isnin, 1 September, Leverkusen mengumumkan pemecatannya secara rasmi, dengan alasan prestasi tidak meyakinkan serta kebimbangan terhadap kebolehannya mengemudi skuad yang sedang melalui proses pembinaan semula.

Musim panas lalu menyaksikan bintang-bintang seperti Florian Wirtz, Jeremie Frimpong, Jonathan Tah dan Granit Xhaka meninggalkan kelab, sekali gus meningkatkan tekanan ke atas Ten Hag.

Sumber dalaman mendedahkan, pengurusan tidak yakin beliau mampu mengendalikan pasukan dalam keadaan sekarang.

Pemecatan ini meninggalkan Leverkusen tanpa pengurus buat kali ketiga dalam tempoh lima bulan, manakala Ten Hag pula menerima tamparan hebat selepas dipecat Manchester United kurang setahun lalu.

Setakat ini, tiada pengganti diumumkan, namun, beberapa nama sudah mula dikaitkan ketika Leverkusen berusaha menyelamatkan kempen Bundesliga mereka yang masih di peringkat awal.







#Erik ten Hag #Bayer Leverkusen #Bundesliga #xabi alonso