SUKAN
E-sukan antara empat sukan tambahan baharu SUKMA 2026

Hannah Yeoh ketika sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Tertinggi Sukan Malaysia (SUKMA) ke-22 dan Para SUKMA Selangor 2026 di Shah Alam, 5 Ogos 2025. --fotoBERNAMA
SHAH ALAM: E-sukan, catur, kriket dan kabadi merupakan empat sukan baharu yang diluluskan untuk dipertandingkan dalam temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 di Selangor.
Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata empat sukan itu diluluskan menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi SUKMA yang dipengerusikan beliau pada Selasa.
Sukan tinju dan sofbol dipilih sebagai sukan wajib berkuat kuasa pada penganjuran SUKMA 2026.
"Ia menjadikan jumlah keseluruhan sukan wajib kepada 30 jenis sukan. Selain itu, empat sukan tambahan diluluskan untuk SUKMA 2026, menjadikan keseluruhan 34 jenis sukan akan dipertandingkan nanti," katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi SUKMA di sini semalam.Hannah berkata keputusan berkenaan adalah muktamad dan tiada lagi rayuan penambahan acara akan dipertimbangkan bagi memastikan penganjur mempunyai tempoh mencukupi untuk membuat persiapan rapi menjelang temasya yang dijadual berlangsung 15 hingga 24 Ogos 2026 di sembilan daerah di Selangor.
Mesyuarat semalam turut meluluskan penyertaan rasmi kontinjen Brunei dalam SUKMA 2026, namun jenis serta jumlah sukan yang akan disertai negara itu bakal ditentukan Jawatankuasa Khas Teknikal SUKMA dalam masa terdekat.
Dalam perkembangan lain, Hannah berkata beberapa pendekatan akan dilaksanakan susulan isu kekurangan penyertaan atlet dan pegawai teknikal wanita dalam temasya SUKMA 2024 di Sarawak.
Beliau berkata antara perubahan yang dipersetujui dalam mesyuarat itu, setiap acara terbuka akan mewajibkan penyertaan atlet yang berbeza jantina.
"Bagi acara sukan yang dipertandingkan di Sukan Olimpik pula, walaupun jumlah atlet wanita tidak menepati jumlah penyertaan minimum, iaitu enam negeri, ia akan tetap berlangsung dan tidak akan digugurkan seperti peraturan SUKMA terdahulu.
"Itu sangat penting untuk menggalakkan sukan wanita terus mempunyai peluang dipertandingkan, walaupun kekurangan pelaburan dan dana daripada semua pihak negeri," katanya.
Bermula dengan SUKMA 2026, setiap kontinjen negeri juga diminta melantik seorang ketua kontinjen atau timbalan ketua kontinjen dalam kalangan wanita selain kuota 20 peratus pegawai sokongan wanita untuk urus setia dan perubatan.
"SUKMA Selangor bakal menyaksikan sekurang-kurangnya 30 peratus sukarelawan dan 20 peratus pegawai teknikal kejohanan dalam kalangan wanita. Penganjuran ( SUKMA kali ini) sangat inklusif, dan ramai yang akan menanti untuk tengok perbezaan berbanding sebelum ini," katanya.
Sementara itu, Hannah berkata Mesyuarat Exco Belia dan Sukan Negeri-Negeri yang turut diadakan pada Selasa juga bersetuju penyertaan negeri ke Sukan Para SUKMA akan diuruskan oleh Majlis Sukan Negeri, menggantikan Jabatan Belia dan Sukan Negeri bermula edisi 2026.
Langkah itu bertujuan memperkemas pengurusan bakat dan persiapan atlet para di peringkat negeri secara lebih strategik dan berfokus.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami