Hari kedua pusingan 16 terakhir menyaksikan Perancis, Jerman dan Belgium menepati ramalan untuk mara ke suku akhir selepas menang bergaya ke atas lawan masing-masing.

Ketinggalan satu gol pada separuh masa pertama, tuan rumah terlebih dahulu dikejutkan dengan sepakan penalti lawan selepas penyerang Republik Ireland, Shane Long dikasari seawal minit kedua, dan disempurna mudah oleh Robbie Brady.

Kebangkitan Perancis bermula pada minit ke-58, apabila Antoine Griezmann menanduk masuk hantaran lintang Bacary Sagna untuk menyamakan kedudukan.

Tiga minit kemudian, Griezmann sekali lagi meledak sekaligus menjadi gol kemenangan untuk menjulang skuad Les Blues.

Ireland bermain dengan 10 orang selepas Shane Duffy dibuang padang pada minit ke-66, namun tiada lagi jaringan dicatatkan dan keputusan 3-0 kekal hingga wisel penamat dibunyikan.

Jerman pula menang mudah ke atas Slovakia dengan 3 gol tanpa balas.

Antoine Griezman menjadi penyumbang gol kemenangan untuk Perancis bagi perlawanan mereka menentang Ireland. - Foto AFP

Voli dari jarak 25 ela oleh pemain pertahanan, Jerome Boateng meletakkan skuad Die Mannschaft di depan ketika perlawanan baru bermula lapan minit.

Empat minit kemudian, Jerman berpeluang menggandakan jaringan lebih awal selepas Mario Gomez dikasari Martin Skrtel, tetapi Mesut Ozil gagal menyempurnakan sepakan penalti apabila bola ditepis keluar penjaga gol Matus Kozacik pada minit ke-14.

Gomez menebus kesilapan Ozil itu dengan menyumbat gol kedua, sebelum Julian Draxler menjadikan kedudukan 3-0 pada babak kedua.

Belgium juga garang membenam Hungary 4 gol, menyaksikan Eden Hazard mempamer aksi kelas tinggi dengan satu jaringan serta menjadi perencana satu daripada gol yang dijaringkan dalam perlawanan di Toulouse.

Gol solo Hazard selepas menggelecek bola melepasi barisan pertahanan Hungary itu dijaringkan pada minit ke-80, sebelum Yannick Carrasso mencetak gol keempat pada minit terakhir perlawanan.

Terdahulu, Hazard membantu Michu Batshuayi menjaringkan gol kedua Belgium pada minit ke-78, lama selepas Toby Alderweireld menanduk bola untuk membuka tirai jaringan pada minit ke-10.

Kemenangan tersebut bererti Belgium akan berdepan dengan Wales, sementara Jerman menanti Itali atau Sepanyol, dan Perancis akan menerima tentangan England atau Iceland, masing-masing akan ditentukan dalam perlawanan awal pagi esok (Selasa).