Euro 2020: Shaw rupanya beraksi dengan patah rusuk

Astro Arena
Julai 21, 2021 02:01 MYT
Aksi Luke Shaw selepas menjaringkan gol pembukaan ketika perlawanan final Euro 2020 antara England dan Itali di Stadium Wembley, London, 11 Julai, 2021. (Foto AP)
BIARPUN muncul pemain terbaik England sepanjang tiga perlawanan terakhir Euro 2020, Luke Shaw dilaporkan menghadapi perlawanan menentang Ukraine, Denmark dan Itali itu dengan tulang rusuk yang patah.
Pertahanan kiri itu merupakan sebahagian daripada skuad bimbingan Gareth Southgate yang tewas kepada Itali dalam penentuan sepakan penalti final Euro 2020 tetapi dia dikhabarkan terpaksa beraksi dalam kesakitan sejak patah beberapa tulang rusuknya sewaktu menentang Jerman dalam pusingan 16.
Berdasarkan laporan Telegraph, Manchester United kini sedang menantikan penilaian tahap kecederaan pertahanan kiri mereka itu -- yang menjaringkan gol terpantas dalam final Kejohanan Eropah sejak 1964 -- menjelang musim depan.
Bekas produk akademi Southampton itu amat menyerlah dalam Euro 2020 dengan menjana tiga bantuan jaringan daripada enam perlawanan sebelum menjaringkan satu gol ketika mengatasi Gianluigi Donnarumma dalam final.
Dia juga mempamerkan kecemerlangannya dalam saingan domestik musim lalu dengan mencipta 72 peluang dan hanya Bruno Fernandes merupakan pemain United lain yang mempunyai rekod lebih baik (95).
The Red Devils kini perlu menunggu keputusan mengenai tahap kecederaan Shaw -- yang berpotensi menjadi satu lagi masalah besar selepas Euro 2020 berikutan Marcus Rashford juga menjalani pembedahan bahu.
#Luke Shaw #pemain terbaik #England #tulang rusuk #patah #Manchester United #penilaian #Euro 2020 #Pembedahan