Ev Ting bakal beraksi dalam acara ONE di Singapura bulan depan

Haider Yutim
Oktober 18, 2019 05:09 MYT
Ev kini berada dalam keadaan yang baik dan semangat yang cukup tinggi. - Instagram/@evting/ONE Championship
Atlet seni bela diri (MMA) negara Ev Ting bakal kembali ke pentas ONE Championship pada November ini untuk beraksi dalam acara mereka di Singapura.
ONE dalam satu kenyataan pada Jumaat mengesahkan bahawa Ev akan berdepan petarung tuan rumah, Amir Khan di ONE: Edge Of Greatness yang akan diadakan di Stadium Tertutup Singapura pada 22 November.
Apa yang menarik, pertarungan lightweight antara Ev dan Amir itu akan diletakkan dalam acara kedua utama atau ‘co-main event’.
Ev, 30, pada Julai lalu telah mempamerkan aksi cemerlang pada acara ONE: Masters Of Destiny di Kuala Lumpur apabila menewaskan atlet Jepun, Daichi Abe.
BACA: MMA: Ev Ting tewaskan Daichi Abe, lakar kemenangan untuk Malaysia
BACA: Ev Ting mahukan Christian Lee, sasar kejuaraan dunia lightweight
Dia telah menumpaskan bekas petarung UFC itu menerusi 'submission' (kuncian) pada minit 4.44 pusingan kedua.
Keputusan tersebut mengeluarkan Ev dari dua kekalahannya yang berturut-turut pada perlawanan lalu dan menambahkan rekod kemenangannya kepada 17 - 6.
Ev kini berada dalam keadaan yang baik dan semangat yang cukup tinggi.
Susulan kemenangan itu, dia kini dalam misi untuk mengejar kejuaraan dunia lightweight ONE dan berdepan Christian Lee suatu hari nanti.
Sebagai rekod, EV pernah bertarung bagi pertarungan merebut kejuaraan pada April 2017.
Dia mencabar Eduard Folayang dari Filipina yang merupakan juara lightweight ketika itu.
Namun keputusan tidak menyebelahinya apabila tewas di tangan Folayang menerusi keputusan sebulat suara juri.
Walaupun tewas pada pertarungan itu, Ev akui dia telah banyak memperbaiki cara dan skil pertarungannya.
Selain pertarungan Ev vs Amir, ONE Championship turut menyajikan pertarungan Muay Thai di antara dua petarung Thailand, Nong-O Gaiyanghadao dan Saemapetch Fairtex.
Ia bakal menyaksikan Nong-O mempertahankan kejuaraan dunia bantamweight Muay Thai yang disandangnya dalam acara utama ONE: Edge Of Greatness itu.
#Amir Khan #Daichi Abe #Ev Ting #kejuaraan dunia lightweight #Mixed Martial Arts #MMA #Muay Thai #Nong-O Gaiyanghadao #ONE Championship #ONE EDGE OF GREATNESS #Saemapetch Fairtex #seni bela diri campuran #Singapura