F1: Kontrak GP Rusia dibatalkan

Astro Arena
Mac 4, 2022 06:34 MYT
St Petersburg sepatutnya akan menggantikan Sochi sebagai tuan rumah perlumbaan itu pada tahun depan. - Foto via Astro Arena
FORMULA One membatalkan kontrak dengan penganjur Grand Prix (GP) Rusia yang sepatutnya berlangsung hingga 2025.
St Petersburg sepatutya akan menggantikan Sochi sebagai tuan rumah perlumbaan itu pada tahun depan.
Bagaimanapun, pencerobohan Rusia ke atas Ukraine minggu lalu menyebabkan barisan ketua F1 mengisytiharkan perlumbaan 2022 di Sochi itu dibatalkan.
Dalam satu kenyataan, F1 berkata: "Formula 1 mengesahkan telah menamatkan kontrak dengan promoter GP Rusia, ini bermakna mereka tidak akan mengadakan perlumbaan pada masa hadapan."
Berita itu muncul dua hari selepas badan induk dunia sukan permotoran, Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA), menyokong keputusan itu tetapi tidak melarang pemandu Russia daripada menyertai perlumbaan.
Malah, FIA pada Selasa lalu turut menyatakan tiada satu pun perlumbaannya harus diadakan di Rusia termasuk negara sekutu, Belarus, hingga diberitahu kelak selain bendera atau simbol mana-mana negara turut diharamkan buat masa ini, ia juga merangkumi lagu kebangsaan dan warna kebangsaan.
Dalam masa sama, pemandu dari Rusia, Nikita Mazepin, yang mewakili pasukan Haas dilarang untuk memasuki United Kingdom (UK), sekali gus akan menghalangnya untuk menyertai GP British Julai depan.
#F1 #Grand Prix #Rusia #Sochi