SUKAN

F1: Lando Norris juara Grand Prix Hungary

Astro Awani 03/08/2025 | 23:50 MYT
Norris meraikan kejayaan di podium selepas memenangi Grand Prix Formula Satu Hungary di litar lumba Hungaroring di Mogyorod, Hungary, 3 Ogos 2025. (Foto AP)
LANDO Norris memenangi Grand Prix Hungary pada Ahad dengan bantuan strategi satu hentian, sekali gus merapatkan jurang kepada pendahulu kejuaraan dan rakan sepasukan McLaren, Oscar Piastri.

Ia merupakan kemenangan perlumbaan ke-200 untuk pasukan McLaren, dan kini Norris memasuki rehat musim panas selama empat minggu, hanya sembilan mata di belakang Piastri - menjanjikan 10 perlumbaan terakhir musim yang penuh mendebarkan.

Kemenangan kelima musim ini dan kesembilan dalam karier beliau, diraih selepas menewaskan Piastri dan pemandu Mercedes George Russell, kedua-duanya antara pelumba yang memasuki pit sebanyak dua kali.

Sementara itu, Charles Leclerc dari Ferrari, yang mengejutkan dengan kedudukan petak utama, merosot ke tempat keempat.

Norris bermula dari tempat ketiga di petak permulaan, dan walaupun tergelincir ke tempat kelima pada pusingan pertama, strategi dan pengurusan tayar yang bijak membawa beliau ke podium tertinggi.

Juara dunia Max Verstappen hanya mampu menamatkan perlumbaan di tempat kesembilan dengan Red Bull, sekali gus kehilangan lebih banyak mata kepada pasukan McLaren.

Juara rekod Lewis Hamilton pula gagal memperbaiki kedudukan ke-12 di petak permulaan dengan prestasi hujung minggu yang kurang memberangsangkan dalam jentera Ferrari. - Agensi







#Lando Norris #GP Hungary #McLaren #Oscar Piastri #F1