SUKAN
Faisal Halim sedia beraksi walaupun berdepan isu peribadi - Cklamovski

Jurulatih menegaskan perkara luar padang tidak menjejaskan prestasi atau komitmennya terhadap skuad kebangsaan. - Foto Stadium Astro
KUALA LUMPUR: Ketua Jurulatih Harimau Malaya Peter Cklamovski memberi jaminan pemain sayap Mohamad Faisal Abdul Halim berada dalam keadaan terbaik dan sedia beraksi untuk negara walaupun dilaporkan berdepan masalah peribadi.
Ringkasan AI
- Jurulatih Harimau Malaya, Peter Cklamovski, sahkan Mohamad Faisal Abdul Halim berada dalam keadaan terbaik dan sedia beraksi walaupun berdepan isu peribadi.
- Faisal mendapat sokongan penuh pasukan, dan jurulatih menegaskan perkara luar padang tidak menjejaskan prestasi atau komitmennya terhadap skuad kebangsaan.
- Keputusan penurunan pemain akan dimuktamadkan pada hari perlawanan, menjelang aksi persahabatan menentang Singapura dan Palestin.
"Dari sudut bola sepak, beliau dalam keadaan terbaik dan saya tahu dia sedang menguruskan hal peribadinya dengan sokongan penuh kami," katanya pada sidang media pra perlawanan menjelang aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 menentang Singapura di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini hari ini.
Ditanya sama ada Mohamad Faisal akan diturunkan pada aksi menentang Singapura esok dan Palestin pada Isnin depan, Cklamovski berkata keputusan itu hanya dimuktamadkan pada hari perlawanan.
"Anda akan melihat senarai skuad esok, tetapi dia bersedia sepenuhnya. Dia menjalani latihan dengan gigih dan bersedia untuk beraksi," katanya.
Semalam, media melaporkan isteri pemain sayap negara itu Nur Syazwani Mizuana Shahril memfailkan perceraian manakala Mohamad Faisal yang merupakan pemenang anugerah gol terbaik Piala Asia 2023 belum membuat sebarang kenyataan berhubung isu itu.
Malaysia dijadualkan menentang Singapura di sini malam esok sebelum bertemu Palestin di Stadium Sultan Ibrahim di Iskandar Puteri, Johor Isnin depan.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami