SUKAN

Faisal Halim tarik perhatian netizen, isu peribadi kembali jadi tumpuan

Faida Rahim 13/11/2025 | 02:30 MYT
Faisal Halim mencuri perhatian netizen selepas memuat naik gambar hitam putih tanpa kapsyen di Instagram. - Foto Instagram/Faisal Halim
KUALA LUMPUR: Pemain tonggak Selangor FC (SFC), Faisal Halim, atau lebih dikenali sebagai Mickey, menjadi perhatian netizen selepas memuat naik gambar hitam putih tanpa kapsyen di Instagram, semalam.


Ringkasan AI
  • Faisal Halim mencuri perhatian netizen selepas memuat naik gambar hitam putih tanpa kapsyen di Instagram, yang mengundang sokongan dan doa daripada peminat.
  • Pemain Selangor FC itu berdepan pelbagai cabaran peribadi, termasuk insiden simbah asid pada 2023 dan kemelut rumah tangga yang kembali menjadi tumpuan selepas kenyataan kontroversi isterinya di media sosial.
  • Isteri Faisal memfailkan permohonan perceraian secara baik pada 2 September lalu di Mahkamah Rendah Syariah Klang, selepas lima tahun mendirikan rumah tangga dan dikurniakan seorang anak lelaki.


Ruangan komen dibanjiri dengan mesej sokongan dan doa daripada peminat yang mendoakan agar Faisal terus tabah menghadapi pelbagai cabaran, bukan sahaja dalam kerjaya bola sepak tetapi juga kehidupan peribadi.


Pemain berusia 27 tahun itu sebelum ini berdepan pelbagai dugaan di luar padang, termasuk isu rumah tangga yang kembali mencuri perhatian umum.

Tahun lalu, anak kelahiran Pulau Pinang itu menjadi mangsa serangan asid di sebuah pusat beli-belah, menyebabkan beliau terpaksa berehat panjang daripada arena bola sepak.

Namun, pada Ogos lalu, Faisal kembali pulih dan menyertai semula skuad Selangor.

Beliau turut dipanggil menyertai pasukan kebangsaan bagi kempen kelayakan Piala Asia 2027 di bawah kendalian jurulatih Peter Cklamovski.

Isnin lalu, isterinya Nur Syazwani Mizuana Shahri memuat naik gambar di media sosial dengan kapsyen berbunyi: “Perkahwinan bukan satu perjudian, patut la layan aku macam sampah,” sekali gus mencetuskan spekulasi mengenai kemelut rumah tangga mereka.

Terdahulu, pada 2 September, Nur Syazwani telah memfailkan permohonan perceraian secara baik di Mahkamah Rendah Syariah Klang, mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Selangor 2003.

Faisal dan Syazwani mendirikan rumah tangga pada 9 Mac 2019 dan dikurniakan seorang anak lelaki bernama Khalish Aryan.







#Faisal Halim #bola sepak #Selangor FC #Nur Syazwani Mizuana Shahri