FAM mohon maaf, tiada niat ambil kredit kejayaan skuad B15 di Thailand

Bernama
Ogos 2, 2019 10:02 MYT
FAM gembira melihat kerjasama itu telah mula membuahkan hasil dan pencapaian pasukan remaja negara seperti yang ditampilkan skuad B-15 kebangsaan jelas menunjukkan bahawa projek itu sedang berjalan dengan baik dan lancar. - Gambar fail
Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memohon maaf dan mengaku tidak berniat untuk mengambil kredit atas kejayaan skuad Bawah 15 tahun (B-15) kendalian jurulatih, P. Maniam yang berjaya menewaskan Australia 3-0 pada saingan Kejuaraan B-15 AFF 2019 di Chonburi, Thailand, semalam.
Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam, dalam satu kenyataan di laman Facebook rasmi FAM, hari ini, berkata pihaknya tidak berniat mengaitkan kejayaan skuad B-15 itu adalah hasil segera daripada DNA Bola Sepak Malaysia yang baru sahaja dilancarkan, 9 Julai lalu.
"Apa yang cuba dimaksudkan dalam kenyataan sebelum ini ialah kejayaan tersebut serta prestasi baik skuad B-15 kebangsaan bermula dengan Kejohanan Jockey Club International Youth 2019 di Hong Kong, April, lalu.
"Seterusnya muncul juara CFA Team China International Youth Football Tournament Haikou 2019 bulan lepas dan disusuli aksi baik pada Kejuaraan B-15 AFF 2019 yang menunjukkan mereka berada pada landasan yang betul dan seiring dengan apa yang cuba diterapkan dalam DNA Bola Sepak Malaysia," jelas Stuart.
Katanya, Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) merupakan projek yang dilaksanakan secara bersama oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS), FAM dan Majlis Sukan Negara (MSN) menerusi kerjasama baharu yang terjalin sejak Disember 2018.
Stuart berkata FAM gembira melihat kerjasama itu telah mula membuahkan hasil dan pencapaian pasukan remaja negara seperti yang ditampilkan skuad B-15 kebangsaan jelas menunjukkan bahawa projek itu sedang berjalan dengan baik dan lancar.
"FAM turut ingin mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih kepada barisan penggerak NFDP dan juga pihak Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari (AMD) di Gambang, Pahang, kerana tanpa sokongan dan usaha mereka selama ini, pemain skuad B-15 tidak akan sampai ke tahap terbaik bagi meneruskan kesinambungan corak permainan mereka seiring dengan DNA Bola Sepak Malaysia yang baharu dilancarkan itu.
"Kenyataan yang disiarkan di Facebook rasmi FAM malam tadi juga telah pun dipadam. Saya berharap agar kita semua tidak terus berbalah mengenai hal mengambil kredit sebaliknya marilah kita sama-sama memberikan sokongan padu dan mendoakan skuad B-15 kebangsaan terus mencatat kemenangan pada baki dua perlawanan Kumpulan B,” katanya.
Pada aksi Kumpulan B, skuad B-15 kebangsaan akan bertemu Laos esok dan tuan rumah, Thailand pada Isnin untuk layak ke separuh akhir.
Malaysia mengekalkan rekod tanpa kalah dalam tiga perlawanan untuk mengungguli carta kumpulan dengan maksimum sembilan mata.
Untuk rekod, Malaysia muncul juara pada 2013 di Myanmar selepas mengalahkan Indonesia 3-2 pada final menerusi penentuan penalti selepas terikat 1-1 selepas masa penuh perlawanan.
#FAM #Kejohanan Jockey Club International Youth 2019 #Kejuaraan B-15 AFF 2019 #p maniam #Persatuan Bola Sepak Malaysia #remaja