KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sekali lagi mengingatkan agar penyokong kelab Liga Super Malaysia tidak membakar suar ketika saingan liga itu berlangsung.

Naib Presiden FAM Mohd Firdaus Mohamed berkata tindakan tatatertib ke atas perbuatan membakar suar di dalam stadium ketika perlawanan masih lagi berkuat kuasa di bawah bidang kuasa tatatertib FAM.

Mohd Firdaus yang juga Presiden Persatuan Bolasepak Melayu Malaysia (PBMM) berkata kelab-kelab sedia ada perlu bertanggungjawab dalam memastikan para penyokong tidak membawa masuk barang larangan ke dalam stadium.

"Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) sendiri yang maklumkan kepada kelab, ini tanggungjawab kelab untuk memastikan penyokong tidak membawa masuk barang larangan bukan sahaja suar tetapi juga barang larangan lain. Itu sudah termaktub dalam pertandingan,

"Perkara itu masih lagi tertakluk pada jawatankuasa tatatertib yang mereka (tatatertib) akan putuskan dalam mesyuarat sama ada akan kenakan denda dan sebagainya," katanya kepada pemberita pada majlis Perjanjian Persefahaman (MOU) di antara Bolabros Global Events Sdn Bhd (Bolabros) dan PBSMM di sini malam ini.

Mengulas lanjut Mohd Firdaus berkata segala bentuk hukuman denda ke atas kelab yang melakukan larangan di dalam stadium ditentukan oleh jawatankuasa tatatertib FAM sendiri selain pihak FAM memberikan layanan sama rata kepada semua kelab liga bola sepak Malaysia.

Sebelum ini, sebanyak tiga kali sekumpulan penyokong Johor Darul Ta'zim (JDT) membakar suar selepas perlawanan sekali gus melanggar peraturan Artikel 70.1 Kod Tataterbit FAM yang melarang penyokong membawa masuk barang larangan ke dalam stadium.

Tindakan membakar suar itu dilakukan ketika Harimau Selatan menang dua perlawanan Liga Super masing-masing ke atas Sabah FC pada 31 Mac dan Kedah Darul Aman (KDA) FC (9 April) dan aksi Piala FA berdepan PDRM FC 14 April lepas.

Dalam perkembangan lain, Mohd Firdaus berkata FAM dalam perancangan untuk membawa skuad kebangsaan beraksi di Sabah dan Sarawak ketika rehat antarabangsa FIFA.

Katanya, venue dua perlawanan melibatkan skuad kebangsaan ketika rehat antarabangsa FIFA pada Jun masih dalam perbincangan bersama kerajaan negeri Terengganu kerana hari perlawanan jatuh pada hari Khamis.

Terdahulu, Mohd Firdaus turut menandatangani MOU bagi pihak Bolabros dan PBSMM yang menjalinkan kerjasama dalam program The Showcase Kuala Lumpur yang akan berlangsung pada 2-5 Jun ini.

The Showcase bertujuan membangun bakat bola sepak Malaysia dan seorang pemain terpilih akan berpeluang diterbangkan ke Madrid untuk menerima latihan profesional Sepanyol pada Julai nanti.

Pemain berusia 15 hingga 23 tahun yang terpilih akan diterbangkan bagi menyertai acara utama The Showcase Madrid yang bakal berlangsung dari 24-30 Julai di Madrid, dan akan dikendalikan di pusat latihan Royal Spanish Football Federation (RFEF).

-- BERNAMA