FAM siasat video tular Dollah Salleh sebelum ambil tindakan lanjut

Bernama
Februari 17, 2019 12:29 MYT
Sebarang tindakan ke atas Dollah akan diputuskan selepas badan induk itu meneliti klip video berkenaan. - Gambar fail
Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akan menyiasat klip video yang tular berhubung kata-kata kesat dikeluarkan Ketua Jurulatih Pahang, Dollah Salleh malam tadi sebelum mengambil sebarang tindakan lanjut.
Setiausaha Agung FAM, Stuart Michael Ramalingam berkata sebarang tindakan ke atas Dollah akan diputuskan selepas badan induk itu meneliti klip video berkenaan yang ditularkan oleh segelintir netizen di laman sosial selepas aksi Liga Super antara Pahang dengan Melaka.
Kedua-dua pasukan seri 1-1 pada perlawanan berkenaan yang berlangsung di Stadium Hang Jebat, Melaka.
"Kami tidak akan ambil tindakan yang tidak munasabah sekiranya perkara tersebut bukan bertujuan menyerang integriti mana-mana pegawai perlawanan. Kita akan lihat klip video tersebut dan apa tujuan di sebalik perkara berkenaan sebelum mengambil tindakan," katanya.
Stuart berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis pelancaran liga futsal profesional negara, Liga Perdana Futsal Malaysia (MFPL) yang disempurnakan Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin di sini, Ahad.
Dalam pada itu, Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) dalam satu kenyataan berkata, pihaknya tidak akan mengambil sebarang tindakan ke atas Dollah, namun akan memberi peringatan kepada pengendali berusia 55 tahun itu supaya tidak mengulangi perbuatan sama.
Beliau memaklumkan MFL tidak akan membawa perkara berkenaan kepada FAM memandangkan perbuatan berkenaan dilakukan secara spontan dan bukannya pada sidang media selepas perlawanan berkenaan.
"Kita perlu bersikap adil kepadanya di mana beliau tidak bercakap dalam sidang media rasmi tetapi tidak bernasib baik kerana percakapannya dirakam ketika kamera sedang merakam suasana selepas tamat perlawanan.
Untuk kes ini, MFL akan memberi peringatan kepada Dollah tentang statusnya sebagai tokoh bola sepak tempatan dan mengingatkannya bahawa perlawanan kini disiarkan secara langsung," katanya.
Pada masa sama, Ketua Pegawai Eksekutid MFL, Kevin Ramalingam berharap insiden ini akan memberi peringatan bukan sahaja kepada Dollah, tetapi semua jurulatih khususnya pasukan Liga Super memandangkan kesemua perlawanan disiarkan secara langsung menerusi platform iflix.
Dollah dilaporkan mengeluarkan kata-kata kesat selepas perlawanan Pahang dan Melaka dan klip video berhubung tindakan beliau telah ditularkan oleh segelintir netizen di laman sosial.
-- BERNAMA
#Dollah Salleh #FAM #jurulatih #Liga Super #netizen #stuart michael ramalingam #video tular