SUKAN

FAM tidak nafi kewujudan dokumen, rayuan ke FIFA untuk jelaskan tiada unsur pemalsuan - Peguam

Naz Raseed 19/10/2025 | 00:20 MYT
Vittoz menjelaskan, rayuan kepada badan bolasepak FIFA bukan bertujuan menyangkal wujudnya dokumen yang diperkatakan, sebaliknya mahu membuktikan bahawa tiada unsur pemalsuan seperti yang dikaitkan sebelum ini.
Kuala Lumpur: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menjelaskan rayuan kepada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) bukan untuk menafikan kewujudan dokumen, sebaliknya bagi menegaskan tiada unsur pemalsuan dilakukan mana-mana pihak.


Ringkasan AI
  • Rayuan FAM bertujuan membatalkan hukuman terhadap tujuh pemain warisan dan menegaskan tiada pemalsuan dilakukan oleh pemain atau organisasi.
  • Peguam FAM menyatakan sebarang kesalahan perlu disasarkan kepada individu yang menyediakan dokumen, bukan kepada pemain atau FAM secara keseluruhan.
  • FAM akui dokumen disediakan mengikut ketetapan JPN, dan siasatan sedang dijalankan untuk mengenal pasti punca kekeliruan sebelum keputusan diumumkan.


Menurut peguam sukan antarabangsa yang mewakili FAM, Serge Vittoz, rayuan kepada FIFA bertujuan adalah bagi membatalkan keseluruhan seksyen hukuman dan membuktikan kesalahan bukan berpunca daripada pemain atau FAM sebagai sebuah organisasi.

“Objektif utama rayuan ini adalah untuk membatalkan keseluruhan seksyen hukuman yang dikenakan, dan membuktikan bahawa kesalahan tersebut tidak berpunca daripada pemain atau pihak pengurusan FAM,” jelasnya.

Dalam masa sama, beliau menegaskan, sekiranya wujud sebarang kesalahan dalam isu ini, ia seharusnya disasarkan kepada individu yang bertanggungjawab secara peribadi.

“Jika benar terdapat kesilapan, ia perlu diletakkan kepada pihak yang menyediakan dokumen tersebut, bukan kepada pemain atau FAM secara keseluruhan,” tegas Serge.

Beliau turut memaklumkan, siasatan kini sedang dijalankan bagi mengenal pasti bagaimana dokumen yang dipertikaikan itu disediakan.

Menurutnya lagi, FAM tidak menafikan kewujudan dokumen berkenaan, namun menegaskan, ia telah disediakan mengikut ketetapan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

“Terdapat perbezaan antara sijil kelahiran yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa luar negara dengan versi yang dikeluarkan oleh JPN, dan hal ini menjadi antara punca kekeliruan,” katanya.

Terdahulu, FIFA dalam laporan penuh penghakimannya mendedahkan asal usul sebenar tujuh pemain warisan negara yang digantung selama 12 bulan selepas didapati melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA, berkaitan pemalsuan dan pengubahan dokumen rasmi.

Berikutan itu, pemain-pemain terbabit digantung selama setahun serta dikenakan denda sebanyak RM10,500 setiap seorang, manakala FAM turut dikenakan denda berjumlah RM1.8 juta.

Rayuan FAM kini sedang diteliti FIFA dan keputusan lanjut dijangka diumumkan selepas proses siasatan selesai.






#FAM #FIFA #pemain warisan #Serge Vittoz