FAM akan menanti jawapan FIFA mengenai status perlawanan dengan Palestin di Stadium Antarabangsa Dura, Hebron 12 November ini sebelum memutuskan jadual skuad negara untuk bertolak ke negara bergolak itu.

FAM mengesahkan telah menghantar rayuan kedua kepada FIFA berikutan tahap keselamtan yang makin merunding di Palestin, di mana Setiausaha Agung, Datuk Hamidin Mohd Amin mengakui langkah itu diambil berikutan maklumat sama diterima daripada pihak kedutaan Arab Saudi yang turut lakukan rayuan.

Andai rayuan ditolak, maka FAM tetap akur kerana bagi mengelak dikenakan tindakan oleh FIFA dan berkemungkinan bertolak pada Jumaat ini atau Isnin depan.

"Kita sedang menunggu rayuan terakhir kita daripada FIFA. Dalam surat tersebut kita menyatakan keadaan di Palestin, kalau diberi peluang bermain pada masa lain iaitu ketika keadaan sudah stabil ataupun bermain di tempat berkecuali," kata Hamidin merujuk kandungan surat yang dihantar kepada FIFA.

Jelas Hamidin lagi, FAM ada cuba mendapatkan maklumat lebih terperinci daripada kedutaan Palestin mengenai jadual perjalanan sebaik tiba di Amman, dan beliau telah menghubungi kedutaan Malaysia di Jordan bagi mendapatkan langkah keselamatan tambahan selain daripada pihak Palestin.

"Setakat hari ini masih samar lagi, jadi kami akan cuba dapat bantuan di Jordan nanti."

Pada Isnin, Pemangku Setiausaha Agung AFC, Datuk Windsor Paul mengesahkan Arab Saudi membuat rayuan kali kedua kepada FIFA agar perlawanan Khamis ini di Tebing Barat diadakah di gelanggang berkecuali.