FAM yakin PBMM mampu laksana transformasi dalam persatuan

Bernama
Februari 23, 2022 22:49 MYT
Hamidin berkata usaha itu boleh dilakukan dengan memanfaatkan era teknologi moden ketika ini untuk mengadakan lebih banyak program dan aktiviti demi kepentingan ahli persatuan. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin yakin Persatuan Bolasepak Melayu Malaysia (PBMM) mampu melaksanakan transformasi dalam persatuan itu menerusi semangat perpaduan yang dimilikinya.
Hamidin berkata usaha itu boleh dilakukan dengan memanfaatkan era teknologi moden ketika ini untuk mengadakan lebih banyak program dan aktiviti demi kepentingan ahli persatuan.
"Penganjuran agenda sedia ada dan (agenda) tahunan PBMM iaitu Piala Emas Raja-raja dan Piala Agong sudah menjadi 'trademark' dan masih bertahan hingga kini, bukan mudah untuk mengekalkan usaha ini dan ia wajar dipuji, syabas saya ucapkan. Namun program seumpama itu perlu dipertingkatkan lagi.
"Lantaran itu, komitmen di setiap peringkat penting dalam bekerjasama memperkasakan lagi PBMM dengan program-program, antaranya membabitkan kejurulatihan dan akar umbi," katanya dalam laman rasmi Facebook FAM pada Rabu.
Sebelum itu Hamidin menerima kunjungan Presiden PBMM Mohd Firdaus Mohamed dan ahli jawatankuasa persatuan itu di Wisma FAM.
Dalam pada itu, Mohd Firdaus berkata persatuan itu akan membantu FAM dalam memperbanyakkan program pembangunan bola sepak, sekali gus mempergiat lagi usaha mencari bakat baharu.
-- BERNAMA
#FAM #Persatuan Bolasepak Malaysia #Hamidin Mohd Amin #PBMM