Farkhan tumbangkan petinju Tanzania, pertahan tiga tali pinggang kejuaraan

Astro Arena
Disember 29, 2019 16:11 MYT
Farkhan Haron mempertahankan tiga tali pinggang kejuaraan dalam Kejohanan Tinju Antarabangsa Johor dengan menumbangkan Pasca Ndomba. - Foto Stadium Astro
PETINJU negara Farkhan Haron mempertahankan tiga tali pinggang kejuaraan dalam Kejohanan Tinju Antarabangsa Johor dengan menumbangkan lawan dari Tanzania, Pasca Ndomba, dengan technical knock-out (TKO) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada, Iskandar Puteri sebentar tadi.
Dua tumbukan tepat di ulu hati dan rusuk yang dilakukan Farkhan ke atas juara Afrika itu dalam pusingan ketujuh menyaksikannya mengungguli pertarungan selama hampir 20 minit itu dengan kemenangan apabila Ndomba mengangkat bendera putih selepas pengadil melakukan kiraan.
"Saya tidak menjangkakan (menang dengan TKO) kerana saya bermula dengan agak perlahan," katanya selepas perlawanan itu.
"Saya tidak suka memberikan alasan tetapi saya mengalami kecederaan yang buruk di tangan kanan saya.
"Sebab itu saya agak perlahan kerana banyak menggunakan tangan kiri.
"Dalam pusingan ketiga, saya tiada pilihan lain kerana lawan amat agresif dan pukulannya amat kuat.
"Dia juga lebih berpengalaman, jadi saya perlu lakukan sesuatu.
"Saya cuba bertahan dalam pusingan keenam tetapi dalam pusingan ketujuh, dia cuba menghampiri saya.
"Saya rasa saya dapat melepaskan dua tumbukan yang tepat, satu di ulu hati dan satu di rusuknya.
"Dan itu sahaja, 11-0 (rekod kemenangan KO miliknya)," katanya.
#Farkhan Haron #Kejohanan Tinju Antarabangsa Johor #Pasca Ndomba #petinju negara #petinju Tanzania #Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada #uara Antara Benua IBF