SUKAN

Fazzrudin Presiden FAS baharu

Bernama 14/06/2025 | 07:45 MYT
Presiden FAS yang baharu Datuk Fazzrudin Abdul Rahman (dua, kiri) bersalaman dengan bekas Presiden FAS Abang Zulkarnain Abang Abdul Rahman (kanan) selepas menang tanpa bertanding hari ini. - Foto Bernama
KUCHING: Presiden Kelab Bola Sepak Kuching City Datuk Fazzrudin Abdul Rahman dipilih sebagai presiden baharu Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) selepas pencabar utama Dr Mohd Shafiq Abdullah menarik diri daripada bertanding pada Mesyuarat Agung Tahunan FAS hari ini.


Ringkasan AI
  • Fazzrudin Abdul Rahman dilantik sebagai Presiden FAS: Presiden Kelab Bola Sepak Kuching City, Datuk Fazzrudin Abdul Rahman, menggantikan Abang Zulkarnain Abang Abdul Rahman sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) bagi penggal 2025-2027 selepas menang tanpa bertanding.
  • Pelan pembangunan bola sepak Sarawak: Fazzrudin merancang untuk memperkukuh sukan bola sepak di peringkat akar umbi melalui penganjuran Liga Premier Sarawak, yang bakal menjadi acara tahunan bagi mengasah bakat pemain tempatan.
  • Pelancaran liga pada September: Liga Premier Sarawak dijangka bermula selewat-lewatnya September dan akan berlangsung selama tiga bulan, dengan harapan dapat melahirkan pemain berkualiti yang boleh beraksi di Liga Malaysia atau liga antarabangsa.


Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak yang menang tanpa bertanding itu akan menggantikan Abang Zulkarnain Abang Abdul Rahman bagi penggal 2025 hingga 2027.

Fazzrudin ketika ditemui selepas mesyuarat itu berkata antara agenda utama beliau selaku Presiden FAS adalah untuk membawa sukan bola sepak ke peringkat akar umbi dengan penganjuran Liga Premier Sarawak.

Beliau berkata liga itu akan melibatkan pasukan yang mewakili bahagian-bahagian di Sarawak dan bakal menjadi acara tahunan.

"Sekiranya kualiti liga itu nanti menjadi bagus, maka kita harapkan ia dapat melahirkan lebih ramai pemain berkualiti yang mungkin boleh dilamar oleh pasukan dalam Liga Malaysia atau liga luar negara. Kita mahu lihat pemain bola dari Sarawak dapat bermain di peringkat lebih tinggi.

"Harapan saya selewat-lewatnya bulan September kita boleh mula liga ini dan mungkin ia akan mengambil masa selama tiga bulan," katanya.

Pada mesyuarat sama, jawatan Timbalan Presiden FAS turut dimenangi tanpa bertanding oleh Datuk Hamzah Brahim.

-- BERNAMA






#Fazzrudin Abdul Rahman #dipilih sebagai presiden baharu #Persatuan Bola Sepak Sarawak #tarik diri