SUKAN

FIFA dedah 'asal usul' pemain warisan Harimau Malaya

Astro Awani 07/10/2025 | 00:50 MYT
Tujuh pemain yang disenaraikan ialah Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Tomas Garces, Rodrigo Julian Holgado, Imanol Javier Machuca, Joao Vitor Brandao Figueiredo, Jon Irazabal Iraurgui serta Hector Alejandro Hevel Serrano.
KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berdepan tamparan besar apabila Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) mendedahkan bukti penggunaan dokumen palsu dalam proses pendaftaran tujuh pemain berdarah warisan Malaysia.

Pendedahan itu dibuat menerusi laporan rasmi Notification of the Grounds of the Decision yang ditandatangani Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FIFA, Jorge Palacio yang menyatakan terdapat percanggahan ketara antara sijil kelahiran asal diperoleh FIFA dengan dokumen dikemukakan FAM bagi menyokong kelayakan pemain-pemain berkenaan.

“Sijil kelahiran asal menunjukkan perbezaan ketara berbanding dokumen yang diserahkan,” jelas Palacio dalam keputusan tersebut.

Antara kes yang mencuri perhatian ialah pemain tengah kelahiran Belanda, Hector Hevel, apabila dokumen FAM mendakwa datuknya lahir di Melaka, sedangkan sijil asal menunjukkan tempat lahir sebenar di The Hague, Belanda.

Situasi sama turut berlaku kepada Jon Irazabal, dengan dokumen FAM menyatakan datuknya berasal dari Kuching, Sarawak, sedangkan rekod asal mengesahkan kelahiran di Villa de Guernica, Sepanyol.

Selain itu, semakan FIFA turut mendapati keluarga Gabriel Palmero berasal dari Santa Cruz de la Palma, Sepanyol, manakala datuk kepada Facundo Garcés dilahirkan di Santa Fe de la Cruz, Argentina.

Datuk Rodrigo Holgado pula dilahirkan di Buenos Aires, nenek kepada Imanol Javier Machuca berasal dari Roldan, sementara datuk João Figueiredo berasal dari Abre Campo, Brazil.

Susulan pelanggaran Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA berkaitan pemalsuan dan penggunaan dokumen palsu dalam urusan rasmi, FAM dikenakan denda RM1.8 juta, manakala setiap pemain terbabit dikenakan denda RM11,000 serta digantung 12 bulan daripada sebarang aktiviti bola sepak.

Laporan FIFA turut memetik pengesahan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bahawa pihaknya tidak pernah menerima sijil kelahiran asal untuk mengesahkan salasilah pemain berkenaan, sebaliknya, hanya mengeluarkan salinan berdasarkan maklumat sekunder dan dokumen luar negara.

“Pengakuan ini menunjukkan proses pengesahan kerajaan Malaysia mungkin tidak berasaskan dokumen asal, sekali gus menimbulkan persoalan terhadap ketelitian prosedur verifikasi FAM,” tegas laporan itu.

Keputusan itu dijangka memberi kesan besar terhadap kempen kelayakan Piala Asia 2027, selepas Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) memberi bayangan bahawa keputusan perlawanan Malaysia berpotensi dibatalkan dan mata kemenangan diserahkan kepada pasukan lawan sekiranya hukuman FIFA dikekalkan.

FAM diberikan tempoh 30 hari untuk menjelaskan bayaran denda dan tiga hari untuk mengemukakan notis rayuan kepada Jawatankuasa Rayuan FIFA.



#FIFA #FAM #pemain warisan #asal usul pemain warisan #harimau Malaya