SUKAN

FIFA lancar Anugerah Keamanan tahunan, pemenang pertama diumum semasa undian Piala Dunia

Agensi 06/11/2025 | 00:20 MYT
Kata Infatino, dalam dunia yang semakin bergolak dan berpecah, adalah penting untuk kita mengiktiraf sumbangan luar biasa mereka yang berusaha menamatkan konflik dan menyatukan manusia dalam semangat keamanan. - Gambar fail
WASHINGTON: Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) mengumumkan pelancaran Anugerah Keamanan FIFA – Football Unites the World, satu penghargaan tahunan yang akan diberikan kepada individu atau kumpulan yang menunjukkan komitmen luar biasa dalam usaha menyatukan masyarakat dan mempromosikan keamanan global.

Anugerah sulung itu akan disampaikan oleh Presiden FIFA, Gianni Infantino semasa majlis undian rasmi Piala Dunia FIFA 2026 yang dijadual berlangsung pada 5 Disember ini di Pusat Seni Persembahan John F. Kennedy, di sini.

“Dalam dunia yang semakin bergolak dan berpecah, adalah penting untuk kita mengiktiraf sumbangan luar biasa mereka yang berusaha menamatkan konflik dan menyatukan manusia dalam semangat keamanan,” kata Infantino dalam kenyataan rasmi.

Beliau menambah: “Bola sepak melambangkan keamanan dan atas nama komuniti bola sepak global, anugerah ini akan menghargai usaha besar individu yang membawa harapan kepada generasi akan datang.”

Majlis undian Piala Dunia kali ini juga akan menentukan kedudukan 48 pasukan dalam peringkat kumpulan bagi kejohanan yang akan berlangsung dari 11 Jun hingga 19 Julai 2026 di Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico - melibatkan rekod 104 perlawanan di 16 bandar tuan rumah.

Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, yang sebelum ini mengumumkan lokasi undian tersebut, dijangka hadir ke majlis berprestij itu.

Infantino sebelum ini turut menyerahkan trofi Piala Dunia kepada Trump dalam satu acara simbolik, sambil menyatakan: “Kita sedang menyatukan dunia, Tuan Presiden dan kami bangga melakukannya di Amerika.”

Trump, yang pernah melobi secara aktif untuk menerima Hadiah Nobel Keamanan tahun ini, tidak tersenarai sebagai penerima selepas anugerah itu diberikan kepada pemimpin pembangkang Venezuela, Maria Corina Machado.

White House turut mengkritik keputusan jawatankuasa Nobel berhubung perkara tersebut. - Agensi




#FIFA #Anugerah Keamanan FIFA #FIFA Peace Prize #Gianni Infantino