SUKAN

FIFA terima 1.5 juta permohonan tiket Piala Dunia 2026 dalam tempoh 24 jam

Agensi 11/09/2025 | 23:30 MYT
FIFA menerima lebih 1.5 juta permohonan tiket daripada peminat bola sepak di 210 negara dalam tempoh hanya 24 jam selepas jualan awal tiket Piala Dunia 2026 dibuka. - Gambar fail Reuters
ZURICH: Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) menerima lebih 1.5 juta permohonan tiket daripada peminat bola sepak di 210 negara dalam tempoh hanya 24 jam selepas jualan awal tiket Piala Dunia 2026 dibuka, demikian diumumkan badan induk itu pada Khamis.

Permintaan luar biasa itu didominasi peminat dari Amerika Syarikat, Mexico dan Kanada selaku tuan rumah, diikuti Argentina, Colombia, Brazil, England, Sepanyol, Portugal dan Jerman.

Reaksi pantas itu menggambarkan tarikan global kejohanan yang diperluas kepada 48 pasukan dengan 104 perlawanan akan berlangsung di 16 bandar tuan rumah di tiga negara tersebut.

Tempoh permohonan tiket akan dibuka sehingga 19 September, jam 11 pagi waktu Timur Amerika (5 petang) dengan masa pendaftaran tidak menjejaskan peluang peminat untuk memperoleh tiket.

Pemohon yang berjaya akan dimaklumkan melalui e-mel mulai 29 September, sebelum diberikan slot masa khusus untuk membuat pembelian bermula 1 Oktober.

Harga tiket akan bermula serendah AS$60 (RM253), namun, sistem harga dinamik akan digunakan pada fasa pertama jualan, dengan harga berbeza mengikut permintaan pasaran.

Fasa tambahan jualan tiket pula dijadual bermula Oktober ini. - Agensi




#Piala Dunia 2026 #tiket Piala Dunia 2026 #FIFA #jualan tiket