SUKAN

'Forever Our Number 20' - Liverpool beri penghormatan kepada Diogo Jota, Andre Silva di Deepdale

Muhamad Syazwan 14/07/2025 | 00:40 MYT
Kesemua pemain dan penyokong kemudian berdiri bertafakur selama seminit - Foto Liverpool FC
PERLAWANAN persahabatan pra-musim antara Liverpool dan Preston North End di Stadium Deepdale pada Ahad bertukar menjadi detik penuh emosi apabila The Reds memberi penghormatan istimewa kepada penyerang mereka, Diogo Jota, dan adiknya, Andre Silva.

Kedua-duanya telah terkorban dalam satu kemalangan jalan raya tragis di Zamora, Sepanyol, pada 3 Julai lalu.

Sebelum sepak mula, kapten Preston, Ben Whiteman, tampil meletakkan kalungan bunga di hadapan penyokong pelawat sebagai tanda solidariti.

Kesemua pemain dan penyokong kemudian berdiri bertafakur selama seminit, diiringi paparan wajah Jota dan Silva pada layar gergasi serta papan LED stadium.

Lagu keramat You’ll Never Walk Alone bergema megah, mengiringi suasana penuh hiba dan kesatuan hati.


Sorakan “Jota, Jota” mula bergema pada minit ke-20, nombor jersi keramat yang dipakai oleh Diogo Jota sepanjang kariernya bersama Liverpool.

Dalam langkah simbolik yang penuh makna, kelab mengumumkan jersi nombor 20 akan dipencenkan secara rasmi di semua peringkat kelab, satu penghormatan tertinggi dan pertama seumpamanya dalam sejarah Liverpool FC.

Dari segi aksi di padang, Liverpool menang 3-1 menerusi jaringan Conor Bradley, Darwin Núñez, dan Cody Gakpo.

Núñez meraikan golnya dengan gaya “video game celebration” yang sinonim dengan Jota dan satu penghormatan peribadi dan penuh makna kepada rakan sepasukannya itu.



Pada sidang media selepas perlawanan, pengurus Liverpool, Arne Slot, berkata:

"Diogo bukan sekadar pemain. Dia adalah sebahagian daripada jiwa pasukan ini. Kami akan terus bermain demi dia, dengan semangatnya dalam setiap langkah yang kami ambil."

Selepas wisel penamat, para pemain dan staf Liverpool berkumpul di hadapan penyokong sambil mengangkat sepanduk bertulis "Forever Our Number 20".

Lagu nama Jota dinyanyikan berulang kali, mencerminkan rasa cinta dan kehilangan yang mendalam, dirasai bukan sahaja di Anfield, tetapi di seluruh komuniti bola sepak dunia.

Warisan Diogo Jota dan Andre Silva akan terus hidup dalam hati peminat, lorong-lorong Anfield dan dalam setiap detik permainan The Reds.






#Diogo Jota #Liverpool #perlawanan persahabatan #jersi nombor 20