KUALA LUMPUR: Hasrat skuad futsal lelaki kebangasaan untuk meneruskan kemaraan ke peringkat separuh akhir Kejuaraan Futsal Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) 2022 berakhir apabila tewas di tangan tuan rumah, Thailand 2-4 hari ini.

Turun dengan misi wajib menang dalam aksi terakhir peringkat Kumpulan A di Stadium Tertutup Huamark di Bangkok, skuad kendalian Chiew Chun Yong bermula baik apabila berjaya mengikat kedudukan 1-1 dalam babak pertama perlawanan.

Thailand terlebih dahulu membuka jaringan seawal minit ketujuh hasil jaringan Tanapol Maneepetch menewaskan penjaga gol skuad negara, Muhammad Syawal Sabaruddin.

Skuad Harimau Malaya kemudian bangkit menyamakan kedudukan pada minit ke-12 menerusi Farhan Khairul Anuar, dan kedudukan itu kekal hingga tamat separuh masa pertama.

Bersambung babak kedua, Malaysia lebih agresif mengasak pintu gol Thailand dan Farhan sekali lagi bertindak cemerlang menjaringkan gol kedua pada minit ke-27 menewaskan penjaga gol lawan, Katawut Hankampa.

Kedudukan Malaysia itu bagaimanapun tidak kekal lama apabila Thailand kembali menyamakan jaringan menerusi Sarawat Phalapruek, dua minit kemudian.

Tersentak dengan gol penyamaan itu, Malaysia mengubah corak permainan dengan taktikal powerplay apabila Muhammad Syawal yang mulanya hanya ditugaskan menjaga gawang naik ke atas melepasi garisan tengah bagi membentuk lima pemain di kawasan lawan.

Namun, percaturan Malaysia itu membawa padah apabila pasukan tuan rumah menjaringkan dua gol menerusi Sarawat Phalapruek pada minit ke-34 sebelum Kritsada Wongkaeo melengkapkan kemenangan mutlak Thailand pada minit ke-39.

Keputusan itu menyaksikan cabaran Malaysia berakhir, sementara Thailand diiringi Indonesia mara ke peringkat separuh akhir apabila masing-masing menghuni kedudukan dua teratas Kumpulan A.

Terdahulu, pasukan Indonesia turut merekodkan kemenangan selepas menundukkan Kemboja 11-2 untuk menduduki tempat kedua di belakang Thailand.

-- BERNAMA