[LAPOR LANGSUNG] Inkues Zara Qairina – Kemas Kini Terkini & Fakta Penting – Ikuti Di Sini.
SUKAN

Gagal bayar nafkah anak, bekas bintang Manchester United berdepan hukuman penjara

Astro Arena 24/09/2025 | 02:15 MYT
Anderson memenangi EPL sebanyak empat kali bersama Manchester United selepas menyertai kelab itu dari Porto pada Julai 2007. - Foto Astro ARENA
BEKAS pemain tengah Manchester United, Anderson, dihukum penjara selepas didapati gagal melunaskan nafkah anaknya.

Daily Mail melaporkan Anderson, 37, akan dikenakan hukuman penjara 30 hari seandainya gagal melunaskan pembayaran tertunggak £142,000 (RM805,734).

Keputusan itu diambil pada 3 September oleh hakim Mahkamah Keluarga di Porto Alegere, bandar kelahiran pemain bola sepak yang telah bersara itu di Selatan Brazil, tetapi ia hanya diketahui semalam.

Akhbar Brazil melaporkan Anderson, yang memenangi Liga Perdana Inggeris (EPL) sebanyak empat kali bersama Manchester United selepas menyertai kelab itu dari Porto pada Julai 2007, akan dikurung di dalam sel dan diawasi rapi di bawah ‘rejim tertutup’ yang ketat sekiranya ada ruang di penjara tempatan, melainkan dia membuat bayaran saat-saat akhir.

Mereka melaporkan Anderson akan dibenarkan keluar untuk belajar atau melakukan kerja komuniti pada waktu siang tetapi perlu kembali ke penjara pada waktu malam, di bawah ‘rejim separa terbuka’ yang lebih longgar, hanya jika berlaku kesesakan penjara.

Difahamkan, keputusan mahkamah itu dibuat berdasarkan tunggakan nafkah yang masih belum dibayar oleh Anderson setakat 28 Julai 2025.





#Manchester United #Anderson #nafkah anak #penjara