KUALA LUMPUR: Persekutuan Renang Malaysia (MAS) akan menyiasat segera dakwaan ratu terjun negara Datuk Pandelela Rinong bahawa wujudnya gangguan 'entiti' hingga menjejaskan peluang penerjun negara melayakkan diri ke Olimpik Paris 2024, di Kejohanan Akuatik Dunia di Doha, Qatar, minggu lalu.

Setiausaha Agung MAS, Andy Low, berkata beliau telah berjumpa dan mendapatkan penjelasan Pandelela pagi tadi, namun enggan mengulas lanjut sehingga siasatan selesai dan mendapat pengesahan mesyuarat Jawatankuasa Kerja Majlis Sukan Negara (MSN) yang dijangka mengambil antara tiga minggu dan sebulan.

"Tiada banyak (mengenai gangguan), selepas kita selesai siasatan, baru kita tahu apa yang sebenarnya...kemudian akan dimaklumkan pada sidang media," katanya selepas mesyuarat pascanilai kegagalan skuad terjun negara di Doha selama hampir empat jam di sini, hari ini.

Kejohanan Dunia itu yang merupakan sesi kelayakan terakhir untuk Olimpik Paris 2024 menyaksikan tiada penerjun negara mengeasahkan tiket ke Paris 2024.

Ia sekali gus menjadikan Betrand Rhodict Lises yang layak bagi acara 10m platform lelaki di Kejohanan Dunia Fukuoka tahun lepas wakil tunggal negara di kolam terjun Paris 2024.

Malah, sejurus pulang dari Doha Isnin lepas, Pandelela ketika ditemu ramah media mendakwa wujud gangguan yang menjejaskan prestasi penerjun senior dan junior.

Sementara itu, Andy berkata pihaknya akan memperketatkan pemilihan atlet ke kejohanan antarabangsa, dengan atlet perlu mencapai mata kelayakan yang ditetapkan.

"Kita hormati keputusan atlet untuk terus bertanding, namun perlu ada kemajuan dan capai mata kelayakan, QMS (quality management systems) dalam kejohanan-kejohanan akan datang. Sebelum ini jurulatih yang buat pemilihan.

"Kita akan beri latihan keras kepada semua penerjun untuk capai tahap untuk layak," katanya sambil menegaskan pendirian Majlis Olimpik Malaysia (MOM) untuk tidak menghantar atlet senior ke Sukan SEA.

Beliau turut mengakui prestasi Pandelela dan Nur Dhabitah Sabri masih setara dan tidak begitu mengagumkan sejak Sukan Komanwel Birmingham 2022.

Mesyuarat itu turut dihadiri wakil MSN dan Institut Sukan Negara (ISN).

-- BERNAMA